fbpx

Malaysia harus percaya diri – Arul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARUL (tengah) mahu skuad negara mempamerkan prestasi sama seperti menewaskan New Zealand menjelang aksi menentang Sepanyol di Stadium Kalinga, Bhubaneswar esok. - FARIZ RUSADIO

BHUBANESWAR – Rekod pertemuan lalu tidak boleh dijadikan ukuran sebenar untuk menentukan peluang Malaysia apabila turun menentang Sepanyol pada aksi cross over Piala Dunia Hoki 2023 di Stadium Kalinga esok.

Skuad hoki negara yang kini melonjak ke ranking kesembilan dunia, pernah menang tiga perlawanan, dua seri dan 13 tewas daripada 18 pertembungan dengan Red Sticks sejak pertama kali bertemu pada Sukan Olimpik 1964 di Tokyo, Jepun.

Bagaimanapun, Malaysia berjaya menang 4-3 sewaktu pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan pada Kejohanan Jemputan Empat Penjuru 2019 di Terrassa, Sepanyol.

Ketua jurulatih negara, A. Arul Selvaraj percaya mereka boleh menumbangkan pasukan No.8 dunia itu jika mempamerkan prestasi sama seperti 45 minit aksi ketika menewaskan New Zealand 3-2 kelmarin.

“Kemenangan seperti ini memberikan kekuatan kepada pemain untuk terus percaya kepada kebolehan masing-masing dan terus bekerja keras untuk meraih objektif.

“Pesanan saya kepada pemain ialah mereka perlu percaya kita boleh memenangi perlawanan. Itulah faktor utama kita menang dengan gol ketiga yang terhasil tiga minit sebelum tamat (menentang New Zealand),” katanya.

Menariknya, pakar flik negara, Muhammad Razie Rahim adalah penjaring gol kemenangan Malaysia ketika menang 4-3 ke atas Sepanyol empat tahun lalu menerusi pukulan sudut penalti pada saat terakhir permainan.

Selain Razie, enam lagi pemain daripada skuad ini turut beraksi ketika itu seperti kap­ten, Muhammad Marhan Jalil, Faizal Saari, Faiz Helmi Jali, Muhamad Najib Abu Hassan, Muhammad Shahril Saabah dan Adrian Andy Albert.

Sebagai rekod, Malaysia berjaya mara ke pusingan cross over selaku naib juara Kumpulan C untuk menempah pertemuan dengan skuad Sepanyol sebagai pasukan ketiga terbaik Kumpulan D.

Kejayaan menewaskan Chile dan New Zealand membolehkan Malaysia merekodkan dua kemenangan berturut-turut pada Piala Dunia sejak kali terakhir melakukannya pada edisi 2002 di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI