Ketagihan menonton filem lucah seawal usia sembilan tahun mendorong segelintir remaja terjebak untuk melakukan seks bebas yang mengundang pelbagai penyakit kelamin. – gambar hiasan

Ketagih porno seawal usia sembilan tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ketagihan terhadap filem pornografi pada seawal usia sembilan tahun kerana pengaruh ahli keluarga menyebabkan segelintir kanak-kanak dan remaja terjebak seks bebas hingga terdedah kepada penyakit kelamin (STD) termasuk virus kurang imun (HIV).

Fenomena membimbangkan itu yang sebelum ini menyerang golongan dewasa kini semakin galak berlaku kepada remaja berusia antara 16 hingga 24 tahun hingga ada yang dikesan menghidap STD seperti chlamydia, sifilis dan gonorrhoea.

Mendedahkan perkara itu, Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Megat Muhammad Haris Megat Zainal berkata, beliau telah me­nerima hampir 250 pesakit remaja yang mengalami STD sejak awal tahun lalu.

Katanya, lebih mengejutkan apabila kira-kira 40 pesakit terdiri daripada remaja yang mengakui mereka telah terlibat dengan aktiviti berkaitan seks seawal usia sembilan hingga 11 tahun menerusi pendedahan porno oleh ahli keluarga sendiri.

“Ada satu kes di mana seorang remaja lelaki berusia 17 tahun datang mendapatkan rawatan di klinik kerana kemaluannya mengeluarkan lendir kehijauan yang berlarutan hampir satu minggu.

“Selepas diperiksa, remaja tersebut mengaku bahawa beliau terlibat dalam hubungan seksual seawal usia 14 tahun, manakala pendedahan terhadap aktiviti itu bermula pada umur sembilan tahun melalui tontonan pornografi bersama abangnya,” katanya kepada Kosmo!.

Megat Muhammad Haris

Menurut Megat Muhammad Haris, pesakit itu juga mengaku telah hubungan seksual yang dilakukan bukan hanya kepada wanita, malah bersama lelaki tanpa menggunakan sebarang alat pencegahan penyakit ke­lamin.

Tambahnya, remaja tersebut memaklumkan secara purata dia melakukan hubungan intim me­lebihi 10 pasangan sebulan dan rata-rata pasangannya merupakan rakan sekolah atau jiran.

“Selepas diperiksa dan me­lakukan penyiasatan kesihatan, kita dapati remaja itu disahkan menghidap gonorrhea atau berkaitan dengan kencing bernanah,” ujarnya.

Ujar Megat Muhammad Haris, kes kedua pula melibatkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang turut mengalami masalah sama pada bahagian kemaluannya.

“Ketika sesi soal jawab, remaja itu mengaku telah aktif melakukan hubungan seksual seawal usia 11 tahun selepas diberikan pendedahan melalui rakan lelaki sebaya dengannya.

“Dia mengaku telah menonton video lucah yang dikongsi oleh rakan menyebabkan terbit rasa ingin mencuba aksi dan aktiviti tersebut,” katanya.

Bagaimanapun katanya, di­sebabkan pengetahuan yang sedikit mengenai seks selamat, remaja perempuan tersebut tidak menggunakan kondom ketika melakukan hubungan tersebut.

Susulan aktiviti tidak bermo­ral itu, Megat Muhammad Haris memberitahu remaja terbabit turut disahkan mengalami pe­nyakit gonorrhea.

Apa yang membimbangkan tambah beliau, kebanyakan remaja tersebut seolah-olah tidak menganggap penyakit ini sesuatu yang serius.

“Malah reaksi ibu bapa remaja ini juga seolah-olah tidak terkejut dan merasakan bahawa perkara ini ialah perkara biasa yang berlaku di kalangan remaja,” luah­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN