fbpx

Daun ketum tak laku di Siam, tapi laris di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah ladang yang subur dengan pokok ketum di Naka, Padang Terap.

ALOR SETAR – Meskipun daun ketum Malaysia sudah tidak laku di Thailand, namun ia tidak menjejaskan harga tumbuhan itu dalam pasaran negara apabila permintaan masih rancak.

Seorang penanam yang mahu dikenali sebagai Man, 55, berkata, harga daun itu masih kekal sama antara RM7 hingga RM10 sekilogram, malah boleh mencecah sehingga RM20 sekilogram pada musim kemarau.

“Ramai kata ketum sudah tak laku di Thailand dan tidak lagi diseludup ke sana, tetapi sebenarnya permintaan dalam negara masih tinggi sehingga bekalan di sesetengah tempat tidak cukup,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, dia menanam pokok ketum jenis daun jambu yang berkualiti tinggi dan mendapat permintaan tinggi daripada penggemar air minuman itu.

“Saya tanam untuk kegunaan sendiri dan kawan-kawan sahaja yang kebanyakan dijadikan ubat atau minuman tenaga. Penanam lain pun ramai yang masih me­ngusahakan tanaman ketum.

“Pokok ketum ini sangat mudah dijaga, tanam dan biar sahaja. Hanya perlu bersihkan kebun sekali-sekala,” ujarnya.

Dakwanya, bekalan daun ketum Kedah juga mendapat permintaan tinggi dari ne­geri luar terutama dari Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“Mereka sanggup datang ke sini untuk ambil bekalan sehingga 80 kilogram (kg) dan biasanya daun ini akan diproses menjadi air di negeri tersebut,” jelasnya.

Tambahnya, dia biasanya akan merebus sekilogram daun ketum untuk mendapatkan kira-kira empat botol air ketum bersaiz satu liter siap satu.

“Saya akui air rebusan daun ketum yang pekat akan menyebabkan ketagihan.

“Kalau orang tua dahulu, mereka akan rebus kurang 10 helai untuk segelas air ketum bagi tujuan perubatan,” ujarnya.
.

Daun ketum urat merah antara yang mendapat permintaan tinggi kerana lebih pekat serta memberikan kesan lebih kuat kepada peminum.

Seorang penagih ketum, Zaim, 36, dari Padang Terap berkata, harga air ketum masih kekal sejak lebih lima tahun lalu.

“Di sebelah Padang Terap ini, harga sebungkus hanya RM3 dan lebih murah jika beli dua bungkus, dapat RM5.

“Harga tak turun kerana permintaan tetap ada, bukan sahaja daripada penduduk tempatan, malah dari luar Kedah,” ujarnya.

Katanya, kebanyakan kebun ketum juga masih dijaga dengan baik.

“Di sini, daun ketum dijual pada harga antara RM7 hingga RM10 sekilogram, tetapi kalau musim kemarau, harganya boleh naik sehingga RM20 sekilogram,” kata­nya.

Seorang lagi penagih yang juga penanam ketum dikenali sebagai, Said, 33, mengakui daun ketum tidak lagi diseludup ke Thailand kerana kurang permintaan, selain tidak berbaloi.

“Kalau dahulu harganya boleh mencecah hampir RM200 sekilogram di sana, namun kini mungkin harganya lebih sedikit daripada harga pasaran tempatan.

“Jadi, tidak berbaloi penyeludup nak ambil risiko dan kos-kos lain untuk seludup daun ini ke negara jiran,” ujarnya.

Katanya, pengusaha kebun ketum bagaimanapun tidak akan rugi kerana tanaman tersebut tidak memerlukan kos penjagaan yang tinggi.

“Tanaman ini pun subur dan mengeluarkan banyak daun sepanjang masa,” jelasnya.

Pada 9 Januari lalu, Kosmo! melaporkan Pengarah Maritim Ne­geri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, tangkapan me­libatkan daun ketum di perairan Kedah dan Perlis berkurangan dengan drastik sejak Jun lalu.

Menurut beliau, harga daun ketum yang sebelum ini boleh mencecah sehingga RM180 seki­logram di Thailand turun mendadak kepada antara RM20 hingga RM30 sekilogram.

Berita berkaitan: Daun ketum Malaysia tak laku di Thailand

Berita berkaitan: Kedah makin rancak jadi ‘jelapang ketum’

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI