fbpx

Lelaki didakwa hempuk bapa guna helmet selepas disuruh berdikari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi anggota polis selepas didakwa memukul bapanya menggunakan topi keledar sehingga cedera di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memukul bapanya menggunakan topi keledar sehingga cedera kerana berang disuruh berdikari, minggu lalu.

Tertuduh, C. Kaviarasan, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejuruh pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah mendatangkan cedera menggunakan topi keledar terhadap bapanya S. Chandran, 58, kira-kira pukul 7 pagi di sebuah rumah di Taman Seri Telok Emas dalam daerah Melaka Tengah pada 12 Januari lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 236A akta sama.

Difahamkan tertuduh bertindak sedemikian selepas berang disuruh berdikari dan mencari tempat tinggal sendiri oleh mangsa.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sekali dalam setiap bulan di balai polis berhampiran dan tidak mendekati mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun dilihat menangis dan merayu agar jaminan itu dikurangkan dengan alasan telah memberikan kerjasama yang baik dengan pihak polis.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Darmafikri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan.

Beliau turut menetapkan tarikh 22 Februari depan sebagai serahan dokumen dan lantikan peguam. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI