fbpx

Ibu bapa M40 terharu anak dapat bantuan RM150

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG ibu ceria menerima Bantuan Awal Persekolahan anaknya di Sekolah Kebangsaan Seri Indera, Kangar semalam. – IZLIZAN OTHMAN

GEORGE TOWN – Golongan ibu bapa daripada kategori M40 di negeri ini antara individu yang paling terharu apabila buat pertama kalinya anak-anak mereka menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 seorang.

Rata-rata dalam kalangan mereka meluahkan kelegaan dan keterujaan sebaik menerima bantuan tanpa syarat atau kela­yakan gaji minimum ibu bapa.

Seorang pekerja swasta, Suhaida Sarif, 41, berkata, dia menarik nafas lega apabila tiga anaknya layak menerima ban­tuan tersebut sekali gus membantu meringankan bebanan kewangan yang ditanggung ketika ini.

Akuinya, bantuan persekolahan untuk semua kategori terutama untuk isi rumah kategori M40 sememangnya sudah lama dinanti-nantikan.

“Kos sara hidup yang semakin meningkat membuatkan kami suami isteri turut terkena tempias meskipun jumlah tangga gaji sebanyak RM10,000 sebulan.

“Kami masih menanggung hutang bank selain terpaksa membiayai yuran tuisyen anak, bas sekolah, pengasuh sehingga kepada kos makanan harian sepanjang bulan. Pemberian BAP dapat meringankan beban untuk membeli buku dan peralatan serta pakaian sekolah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Seorang akauntan di sebuah syarikat swasta, Roslinda Hamid, 41, pula berkata, bantuan itu membuatkannya hilang segala kekusutan di kepala sebaik empat anaknya juga layak menerima BAP tahun ini.

“Sudah lama tunggu peluang keemasan ini. Meskipun berada di kategori M40, tetapi kami juga antara yang terpalit dengan krisis bebanan kewangan ketika ini.

“Kami sudah hilang perasaan malu dan hanya mengharapkan wang BAP untuk membeli pakai­an baharu sekolah anak tahun ini. Ketika ini, anak-anak masih menggunakan kasut dan pakaian sekolah yang lama,” jelasnya.

SEBAHAGIAN ibu bapa hadir mengambil Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Seberang Takir, Kuala Nerus semalam. – PUQTRA HAIRRY

Di Kuala Terengganu, pemberian BAP kepada semua murid dan pelajar tanpa mengira pendapatan penjaga dianggap pendekatan terbaik kerajaan bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup ketika ini.

Seorang ibu, Nor Azimah Bakar, 36, berkata, sebelum ini, tiga anaknya tidak pernah layak menerima BAP ekoran pendapatan melebihi RM3,000 sebulan.

“Walaupun saya berpendapatan bulanan RM3,200, hakikatnya hanya saya seorang yang bekerja menanggung keluarga kerana suami telah terlantar sakit sejak empat tahun lalu.

“Pemberian BAP sebanyak RM150 seorang ini sekurang-kurangnya mengurangkan beban saya untuk menyediakan kelengkapan sekolah untuk tiga anak berusia lapan hingga 12 tahun,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Seorang lagi ibu, Nurul Syidah Mat Yasin, 37, pula berkata, pemberian BAP pada awal tahun sebelum sesi persekolahan baharu bermula amat membantu ke­luarga besarnya.

“Suami saya cuma bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,000 sebulan. Memang terpaksa ‘pecah tabung’ juga sebelum ini untuk melengkapkan persiapan sekolah enam anak.

“Sebelum ini, kami kena dahulukan duit kerana BAP diterima sesudah sesi persekolahan bermula. Syukur tahun ini terima awal dan amaunnya juga bertambah RM50 seorang,” katanya.

KOS sara hidup yang semakin meningkat mengakibatkan ada golongan ibu bapa yang tersepit untuk membeli kelengkapan dan belanja sekolah anak-anak. – AFIQ RAZALI

Di Klang, BAP amat ditunggu oleh ibu bapa seterusnya memberikan kegembiraan terutama kepada anak-anak untuk memulakan alam persekolahan semula.

Seorang tukang sapu, Sairudin Khairi Abdullah, 38, berkata, ini juga menunjukkan kesungguhan kerajaan membantu golongan B40 yang cukup terkesan dengan kos sara hidup ketika ini

Sairudin berkata, pendapatan bulanan tidak tinggi dengan wang tersebut mampu digunakan bagi pembelian kelengkapan persekolahan anak tunggalnya, Mohd. Hisham, 13.

“Beberapa pasang baju sekolah anak lusuh, namun saya tidak mampu untuk membeli yang baharu akibat kekangan kewangan.

“Selebihnya duit bantuan itu saya akan simpan untuk kegunaan anak pada masa akan datang,” katanya.

Seorang kerani swasta, Zulkhairi Hisham Sidek, 39, berkata, bantuan itu akan digunakan sebagai wang saku harian persekolahan anaknya.

Ujarnya, pakaian serta kelengkapan persekolahan dua orang anaknya masih lagi dalam ke­adaan baik.

“Sekarang ini harga makan di kantin di sekolah anak saya pun boleh dikatakan agak mahal. Jadi, saya harap anak dapat gunakan duit bantuan ini se­baiknya,” katanya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI