fbpx

Mahkamah: Bekas ketua eksekutif Kolej Sentral didenda RM15,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH yang memakai pelitup muka dan menutup kepalanya dengan baju berhud diiring kakitangan SPRM selepas membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Sesyen 2, Kompleks Mahkamah Kuantan hari ini.

KUANTAN – Bekas Ketua Eksekutif Kolej Sentral Bandar Pusat Jengka mengaku bersalah atas pertuduhan secara tidak jujur menggunakan jawatannya untuk mengeluarkan dokumen palsu iaitu sijil dan transkrip Program Asasi Sains kolej berkenaan bagi mendapatkan wang berjumlah RM5,000.

Tertuduh, Amran Mustaffa, 58, dikenakan hukuman denda RM15,000 selepas dituduh di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen 465 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa menerima bayaran daripada Muhammad Izhar Ismail melalui pengurus sebuah syarikat, Noralyra Ismail, untuk mengeluarkan sijil dan transkrip tanpa mengikut prosedur pembelajaran yang betul pada 21 dan 24 Oktober 2015 di Bank CIMB Berhad cawangan Jerantut.

Tertuduh diwakili peguam, Ariff Azami Hussein membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Riffah Izzati Abdul Mutalif dihadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Ariff Azami meminta hukuman ke atas tertuduh diringankan berikutan anak guamnya itu telah mengaku bersalah sebelum perbicaraan dimulakan selain itu ia merupakan kesalahan pertama tertuduh.

Selain itu, Ariff Azami juga turut mengemukakan alasan tertuduh yang merupakan ketua sebuah keluarga yang besar dengan 11 orang anak berusia antara tiga hingga 32 tahun.

Ariff Azami turut berhujah tentang sumbangan Amran yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan malah pernah dilantik sebagai setiusaha sebuah masjid selain berhujah bahawa kepentingan awam tetap terpelihara sekiranya satu hukuman berbentuk denda sahaja dikenakan.

Ahmad Zamzani menjatuhkan hukuman bagi pertuduhan pilihan pertama iaitu denda sebanyak RM7,000 di mana jika gagal boleh dikenakan penjara enam bulan di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan denda RM8,000 atau enam bulan penjara di bawah seksyen sama untuk pertuduhan pilihan kedua. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI