fbpx

Pesara mekanik ubah suai Land Rover jadi rumah bergerak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SMITH mengubah suai Land Rover miliknya menjadi rumah bermotor. - Katrina Smith/Ferrari Press Agency

LONDON – Seorang wanita di Britain mengubah suai sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Land Rover menjadi rumah bergerak yang ‘mewah’, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Pengubahsuaian kenderaan itu menelan belanja sebanyak £50,000 (RM266,225). Wanita tersebut merancang untuk mengembara ke seluruh dunia dengan menaiki kenderaan itu.

Katrina Smith, 55, yang merupakan bekas mekanik, telah memastikan kenderaan itu mempunyai semua kelengkapan sebagai persediaan memulakan perjalanan sekali seumur hidup merentasi Benua Afrika pada bulan depan.

Land Rover Defender yang dinamakan The Beast itu sesuai didiami selepas tujuh bulan menjalani proses pengubahsuaian.

Menurut Smith, kenderaan itu adalah satu-satunya yang mempunyai pancuran mandi air panas dan sejuk yang dibina di dalamnya. Ia juga mempunyai ruang dapur yang lengkap dengan dapur gas, peti sejuk beku dan beberapa ruang simpanan.

Smith turut memasang khemah sementara pada bumbung kenderaan itu yang menempatkan sebuah katil, manakala katil kedua ditempatkan di tempat duduk hadapan.

Dia juga memasang stereng yang boleh ditanggalkan supaya mempunyai lebih banyak ruang. Ia juga bertujuan untuk mengelakkan kenderaan itu daripada dicuri. 

“Ia adalah sebuah kenderaan yang cukup bagus. Saya mencipta semuanya sendiri dan meletakkan pancuran di dalam yang tidak pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.

Smith akan mengembara ke Benua Afrika merentasi Mesir, Sudan, Ethiopia, Cape Town dan Maghribi menggunakan kenderaan tersebut. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI