KEMUNCULAN Mercedes-Benz GLA 200 Edisi ‘Nightfall’ membawa karakter baharu yang lebih berani, misteri dan menggoda.
GLA 200 Edisi ‘Nightfall’ yang dilancarkan pada awal Mac lalu bukan sekadar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak premium, sebaliknya gabungan warisan kejuruteraan Jerman dan gaya hidup moden penuh karakter.
Sejarah model GLA bermula apabila Mercedes-Benz memperkenalkan barisan SUV kompaknya sekitar tahun 2013 sebagai jawapan kepada permintaan global terhadap kenderaan premium yang lebih praktikal tetapi tetap bergaya.
Kemunculan GLA 200 ‘Nightfall’ pada 2026 berbanding edisi Progressive Line sebelum ini menerima pakej kelengkapan yang dipertingkat dengan harga masih kekal RM258,888 atas jalan raya tanpa insurans.
Pandangan pertama penulis, aura GLA 200 ‘Nightfall’ begitu terasa dengan kemasan hitam berkilat pada gril hadapan, padanan trim gelap serta elemen trim yang diperhalusi memberikan identiti lebih menyerlah berbanding versi standard.
Edisi Nightfall diasaskan daripada pakej AMG Line, namun diberikan sentuhan lebih agresif iaitu menerima sistem brek sport serta talaan suspensi yang direndahkan bagi pengendalian lebih dinamik.
Lebih menarik, GLA 200 dipadankan dengan rim aloi ringan AMG Line lima jejari berkembar saiz 19 inci.
Ia turut dilengkapi sistem lampu hadapan multibeam LED bersama Adaptive Highbeam Assist yang menawarkan fungsi pencahayaan pintar termasuk mod lampu adaptif serta pelarasan automatik mengikut keadaan trafik.
Baru-baru ini, penulis diberi peluang merasai pengalaman balik kampung sempena Hari Raya Aidilfitri dengan memandu uji GLA 200 Nightfall dari Kuala Lumpur ke Bahau, Negeri Sembilan.
SUV kompak premium itu sesuai untuk keluarga kecil dengan minimum tiga anak kerana saiznya yang praktikal, tidak terlalu kecil atau besar.
Ketika penulis memulakan pandu uji, GLA 200 Nightfall menunjukkan sisi sebenar dirinya, jentera ini yang dikuasakan enjin 1.3 liter turbo empat silinder mungkin kedengaran sederhana di atas kertas.

Namun, di atas jalan raya, SUV kompak ini cukup responsif dengan pecutan terasa lancar, manakala transmisi dwi-klac menukar gear dengan halus tanpa gangguan ketara.
Ia mampu menghasilkan kuasa 163hp dan 270Nm yang boleh memecut dari pegun ke 100 kilometer sejam dalam masa 8.9 saat dengan kelajuan maksimum 210km/j.
Di laluan bandar yang sibuk, sterengnya ringan dan mudah dikawal amat sesuai untuk pemanduan harian.
Sebaliknya, apabila dipandu di lebuh raya, karakter SUV ini berubah menjadi lebih stabil dan mantap seolah-olah mengingatkan kita bahawa DNA Mercedes-Benz tetap mengalir dalam setiap komponennya.
Ketika memulakan perjalanan dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri, keadaan trafik agak terkawal hanya beberapa tempat seperti Bukit Putus menghala ke Kuala Pilah sesak dengan kenderaan.
Dilengkapi dengan Sistem Brek Automatik (AEB) membantu dari segi aspek pemanduan seperti mengelak perlanggaran, mengurangkan impak jika tidak sempat berhenti dan membantu menekan brek ketika kecemasan.
Beralih kepada keseimbangan pemanduan, SUV ini menunjukkan kematangan yang jarang ditemui dalam kelasnya.
Di selekoh, badan kenderaan kekal stabil dengan olengan yang minimum, memberikan keyakinan kepada pemandu walaupun kereta memecut laju.
Meninjau ke ruangan kabin, GLA 200 ‘Nightfall’ menampilkan kemasan dalaman AMG Line, bumbung fabrik hitam, stereng sport multifungsi berbalut kulit Nappa serta kemasan Artico dan
Microcut rona hitam dengan jahitan kontras kelabu.
Dari aspek keselesaan, inilah kekuatan sebenar model ini dengan sistem suspensi ditala dengam baik berjaya menyerap permukaan jalan yang tidak rata tanpa memindahkan gegaran berlebihan ke dalam kabin.
Bunyi luar juga diasingkan dengan efektif menjadikan suasana dalam kabin kekal senyap dan tenang.
Sementara itu, tempat duduk direka untuk sokongan optimum tidak terlalu lembut atau keras sesuai untuk perjalanan jarak jauh tanpa rasa penat.
Ciri menarik lain ialah tali pinggang keselamatan warna kelabu, paparan berkembar 10.25 inci untuk kluster digital dan sistem infotainment.
Penyaman udara automatik Thermotronic dan Pakej Parkir dengan kamera 360 darjah dan Active Parking Assist menjadi kelengkapan standard pada model ini.
Perjalanan balik kampung kami sekeluarga dengan GLA 200 Nightfall memberikan pengalaman yang menarik walaupun ia SUV terendah dalam kelasnya, tetap bergaya dan praktikal senang hendak menelusuri jalan kampung atau bandar.
Kesimpulannya, gabungan tiga elemen iaitu kuasa pecutan responsif, keseimbangan meyakinkan dan keselesaan menyeluruh menjadikan GLA 200 Nightfall lebih dari sekadar SUV kompak.
Ia adalah manifestasi gaya hidup moden yang mahukan prestasi tanpa mengorbankan keselesaan.
Akhirnya, model ini membuktikan bahawa dalam dunia automotif hari ini, kemewahan bukan hanya pada jenama tetapi bagaimana sesebuah kenderaan itu membuatkan pemandu rasa yakin, selesa dalam setiap perjalanan.















