LIPIS – Seorang remaja lelaki Orang Asli mati dalam keadaan menyayat hati apabila dia bukan sahaja dipijak, malah turut ditendang dan dilambung oleh seekor gajah liar dalam kejadian di Kampung Tual, Pos Sinderut di sini kelmarin.
Kejadian ngeri itu berlaku hanya sebulan selepas seorang wanita Orang Asli maut akibat diserang kawanan gajah liar yang menceroboh rumahnya di Pos Betau pada bulan lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang kelmarin, mangsa dikenali sebagai Andy Yok Manin, 15, ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dengan kesan kecederaan teruk pada bahagian badan dan perut.
Kejadian itu turut disaksikan sendiri rakan mangsa yang melihat remaja itu dipijak-pijak selain ditendang seperti bola oleh gajah liar berkenaan.
Abang mangsa, Borhan Yok Manin berkata, serangan gajah liar itu berlaku ketika mereka bertiga memasuki hutan untuk mencari petai berhampiran sebuah kebun durian.
“Ketika itu, adik berjalan di hadapan diikuti seorang rakan, manakala saya pula berada di belakang sebelum muncul seekor gajah di hadapan menyebabkan kami melarikan diri.
“Saya terus lari ke atas bukit dan rakan kami pula sempat memanjat pokok. Bagaimanapun, adik tidak bernasib baik apabila dia tersadung akar pokok dan jatuh di atas tanah.
“Selepas itu, saya hanya dengar bunyi bising gajah tersebut yang menyerang adik,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Tambah Borhan, rakannya yang berada di atas pokok ketika kejadian sempat melihat jasad adik diperlakukan seperti sebiji bola oleh gajah liar itu.
“Dia lihat adik ditendang-tendang sebelum badannya dilambung,” katanya.
Ceritanya lagi, gajah liar berkenaan menyerang adiknya selama sejam sebelum haiwan itu beredar dan memasuki hutan.
“Sebelum beredar, gajah itu sempat menutup jasad adik yang sudah tidak bernyawa menggunakan daun pokok bagaikan ingin menyembunyi mayat berkenaan.
“Saya pula hanya sempat melihat jasad adik selepas empat jam bersembunyi. Bagaimanapun, jasad adik masih sempurna dan tiada kesan darah,” jelasnya.
Ibu mangsa, Normah Yok Isa, 47, pula tidak menyangka kejadian itu akan menimpa anaknya memandangkan mereka memang kerap ke hutan untuk mencari hasil hutan.
“Kami terkejut kerana kejadian sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Biarpun sedih, saya dan keluarga tetap reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, mangsa telah dipijak selain badannya ditusuk dengan gading selain dihempas ke tanah.
Katanya, siasatan awal mendapati serangan gajah itu bermula di Kampung Regang yang terletak bersebelahan kampung mangsa sebelum haiwan liar itu dihalau penduduk.
“Haiwan itu kemudian menuju ke kawasan kebun durian Kampung Tual iaitu lokasi di mana mangsa berada,” tambahnya.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md. Yassin berkata, pihaknya sudah menggerakkan dua pasukan untuk melakukan operasi bagi menangkap gajah tersebut.
“Buat masa ini, pihak Perhilitan mengenal pasti hanya seekor gajah yang menyerang mangsa dan dipercayai dari Hutan Simpan Ulu Jelai,” katanya.
Kosmo! pada 6 Disember lalu melaporkan seorang wanita Orang Asli yang maut akibat dipijak seekor gajah di Kampung Simoi Baru, Pos Betau di sini.














