fbpx

Bekas eksekutif Petronas didakwa lagi hampir RM10 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amal ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. FOTO: AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Bekas Eksekutif Petronas (Pembinaan) Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) didakwa lagi di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram hampir RM9.65 juta antara 2018 hingga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Amal M. Razalan, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap 41 pertuduhan rasuah dan lima penggubahan wang haram itu selepas dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan kesemua pertuduhan rasuah, bapa kepada dua anak itu didakwa menerima suapan keseluruhan RM9.4 juta daripada empat individu yang masing-masing merupakan ketua pegawai operasi, pengarah dan pengurus syarikat berlainan dengan bersubahat bersama seorang lelaki yang sama.

Kesemua suapan itu dilakukan menerusi cek dan pindahan atas talian terhadap sebuah bank milik syarikat lain sebagai upah kepada tertuduh yang memperakukan lebih 50 kerja-kerja, mempersetujui dan mendapatkan kerja penyelenggaran struktur kepada PCSB.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 28 (1) dan boleh dihukum dengan Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

Mohd. Amal turut didakwa penggubahan wang berjumlah RM252,042.92 mengikut subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasaan yang boleh dihukum subseksyen 4(1) akta sama.

Kesemua perbuatan itu dilakukan empat cawangan bank di Puchong, Petaling Jaya dan Shah Alam antara 29 Ogos 2018 hingga 28 Mac 2022.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon jaminan antara RM200,000 hingga RM300,000 dengan satu penjamin bagi kesemua pertuduhan dikenakan kepada tertuduh.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 dan pembayaran jaminan dilakukan secara dua peringkat susulan anak guamnya telah dikenakan jaminan keseluruhan RM180,000 sebelum ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Mahkamah membenarkan jaminan keseluruhan RM100,000 bersama seorang penjamin dengan RM70,000 dibayar hari ini dan selebihnya sebelum tarikh sebutan semula pada 30 Januari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI