fbpx

Derita versi piano, ‘string’ Isma Sane

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMA SANE

NAMA penyanyi berbakat besar, Isma Sane mula dikenali menerusi lagu hasil ciptaannya berjudul Derita yang dilancarkan pada 2018 dan video muzik lagu tersebut sehingga kini telah mencecah lebih 33 juta tontonan dalam YouTube.

Rekod tersebut sekali gus menjadikan lagu hasil ciptaan penyanyi berusia 25 tahun itu antara lagu popular ketika itu dan merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan buat Isma Sane.

Selepas muncul dengan beberapa single sebelum ini, terbaharu Isma kembali dengan mempertaruhkan versi baharu Derita yang lebih emosi dan dramatik.

Derita versi piano dan ‘string’ tersebut dianggap sebagai hadiah kepada peminat setia Isma yang tidak pernah jemu menyokong bakat muda itu sejak 2018.

“Selepas empat tahun lagu ini dilancarkan, jumlah tontonan sudah melebihi 33 juta. Ini menjadi satu pencapaian yang cukup membanggakan buat penyanyi baharu seperti Isma. Apatah lagi perlu bersaing dengan ramai lagi penyanyi dan lagu baharu ketika itu,” ujar Pengarah Beegood Music, Amir Arshad.

EMOSI duka yang jauh lebih berat diterjemahkan Isma Sane menerusi lagu Derita versi piano dan ‘string’.

Disebabkan itu, Amir berkata, pihaknya memutuskan merakam semula lagu Derita dalam versi yang baharu dan lebih istimewa sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada peminat.

“Kami memutuskan membuat rakaman semula, apa yang lebih istimewa kerana versi ini menggunakan elemen bunyi piano dan ‘string’.

“Kami mahu peminat mendengar lagu ini dari sudut yang baharu dan lebih segar. Kita nak peminat turut sama merasai ‘feel’ dan penghayatan yang disampaikan Isma dalam rakaman versi baharu ini,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai Derita versi baharu, Amir berkata, pemilihan instrumen piano dan ‘string’ sangat bersesuaian dengan emosi serta melodi lagu tersebut yang sarat dengan emosi sayu.

“Lagu ini penuh emosi, jadi sangat sesuai dengan bunyi piano dan ‘string’. Saya nak lebih rasa sedih lagi, sebab itulah kami merakamkan semula dengan vokal terbaharu.

“Pada masa sama, ada juga beberapa bahagian tambahan dalam lagu ini iaitu dari segi lirik. Lagu ini dipilih kerana sudah jadi ‘trademark’ Isma Sane. Apabila dia menyanyikan lagu ini, orang sudah tahu itu dia. Pendek kata, lagu ini sangat dekat dengan peminatnya,” jelas Amir lagi.

AGAK menyepi sejak beberapa tahun lalu, kini Isma Sane kembali memahat nama dengan buah tangan baharu.

Selain rangka promosi yang diatur untuk Derita versi piano dan ‘string’, pihak Beegood Music turut merancang mengadakan siri jelajah di 10 buah sekolah dalam negara menerusi program Beegood At School.

“Kami ada merancang untuk pergi jelajah ke 10 buah sekolah tapi tarikhnya belum diputuskan lagi. Menerusi jelajah ini, Beegood Music mahu membawa elemen ‘education entertainment’. Menerusi sesi itu akan ada juga perkongsian berkenaan kesihatan mental.

“Terdapat beberapa artis yang akan terlibat kelak termasuklah doktor untuk menerangkan berkenaan perkara itu. Perancangannya selepas sesi persekolahan kembali dibuka pada tahun ini. Selain itu, kami juga mengajak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kesihatan mental untuk turut serta,” katanya.

Untuk rekod, Isma pernah muncul dengan beberapa single sebelum ini yang tidak kurang juga digemari oleh peminat setianya iaitu lagu Kembali pada 2019, Sepi (2021), Pergi Jauh, Kamu, Dia dan Sayang Sayang pada tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI