fbpx

Dua ‘tokan’ dadah dicekup ketika tunggu pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Radzi (tengah) ketika sidang akhbar di IPD SPU berhubung kes sindiket pengedaran dadah di kawasan Butterworth, di sini hari ini. Gambar/IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Dua lelaki termasuk seorang penghantar makanan yang disyaki ‘tokan’ dadah berjaya diberkas dalam satu serbuan di sebuah restoran di Jalan Raja Uda, Butterworth, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, susulan serbuan kira-kira pukul 5.30 petang itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM104,879 yang dijumpai dalam sebuah kereta yang diletakkan di belakang restoran berkenaan.

Terdahulu katanya, satu risikan berkaitan telah dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di ibu pejabat polis daerah (IPD) itu susulan maklumat yang diterima.

Beliau berkata, ketika ditahan, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 22 dan 25 tahun itu dipercayai sedang menunggu pelanggan.

“Hasil pemeriksaan kemudian menjumpai sebanyak 88 bungkus dadah heroin seberat 4,995 gram bernilai RM66,933 dalam kereta terbabit.

“Turut ditemui adalah satu bungkusan dadah jenis ganja seberat 1,009 gram dan 984 gram dadah jenis syabu yang masing-masing bernilai RM2,522 dan RM35,424,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Selain dadah, kata Mohd. Radzi, polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios bernilai RM90,000 yang digunakan suspek kerana dipercayai telah dicuri susulan satu laporan kehilangan kenderaan yang dilaporkan di Johor kira-kira tiga tahun lalu.

Dalam pada itu katanya, kedua-dua suspek dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah itu sejak Disember lalu dan mempunyai rekod lampau berkaitan bahan terlarang itu.

“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mereka (suspek) turut direman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

“Ketika ini, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk untuk mengesan lebih ramai rangkaian sindiket pengedaran dadah tersebut termasuk pembekal (dadah) yang dipercayai tinggal di bahagian pulau (George Town),” katanya.

Kesemua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 34,940 penagih jika ia terlepas ke pasaran gelap. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI