fbpx

Laporan penuh tragedi tanah runtuh dalam masa terdekat – Nik Nazmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi (tengah) menyaksikan majlis pertukaran dokumen MOU antara Pemangku Pengarah Urusan Cyberview, Dr. Mohd. Hafiz Ibrahim (tiga kiri) dengan Pengarah Urusan Roda Emas Industri Sdn Bhd, Izuan Hafiz (dua kanan) di RekaScape @ Cyberjaya di sini, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

CYBERJAYA – Laporan penuh berhubung kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highlands pada 16 Disember lalu akan dilengkapkan dan dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, satu laporan awal berhubung tragedi itu telah pun dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet semalam dan ia akan disusuli dengan laporan lengkap tidak lama lagi.

“Di Mesyuarat Kabinet semalam ada dibentangkan satu laporan awal daripada peringkat Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan daripada kementerian saya kita juga ada laporan awal disediakan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

“Pembentangan laporan itu adalah susulan pemintaan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melihat sendiri laporan awal terlebih dahulu berhubung kejadian sebelum laporan penuh yang lebih lengkap disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Cyberview dan Roda Emas Industri Sdn. Bhd. mengenai pembangunan ekosistem Mobiliti Pintar di RekaScape@Cyberjaya di sini, hari ini.

Menurut Nik Nazmi, laporan yang dibentangkan semalam adalah merangkumi siasatan yang dilakukan di peringkat awal kerana sebelum ini fokus diberikan kepada operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Jadi apabila SAR sudah selesai dan mayat-mayat mangsa semuanya telah kita temui, barulah kita akan beralih kepada peringkat menyediakan laporan teknikal yang merangkumi punca kejadian dan sebagainya.

“Bagaimanapun tiada sebarang maklum balas yang diberikan Kabinet kerana ia masih di peringkat awal dan kita akan tunggu laporan penuh dalam masa terdekat ini untuk sebarang tindakan selanjutnya,” ujar beliau.

Sementara itu, mengulas mengenai MoU yang ditandatangani oleh Cyberview dan Roda Emas Industri Sdn. Bhd., Nik Nazmi menyifatkan ia sebagai langkah yang amat bagus terutamanya dalam membentuk ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

“Kita menyasarkan penyediaan sebanyak 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang 2050 dan ketika ini sudah lebih daripada 900 stesen pengecasan EV awam disediakan oleh beberapa operator pengecasan.

“Saya percaya masih banyak yang kita perlu lakukan untuk mencapai sasaran ini kerana jika tidak ia akan mengganggu perancangan besar lain seperti menjadikan Malaysia negara bebas karbon menjelang 2025 dan ia suatu impak yang amat besar,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI