fbpx

Jasa 40 penjawat awam banteras rasuah diraikan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam (tengah) bergambar bersama 40 penerima sijil di ibu pejabat SPRM Putrajaya, hari ini. - Foto IHSAN SPRM

PUTRAJAYA – Seramai 40 penjawat awam dari pelbagai agensi dan jabatan serta kementerian diraikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas jasa mereka membantu membanteras rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, mereka terdiri daripada pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).

Beliau berkata, pegawai lain terdiri daripada mereka yang berkhidmat di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Mereka yang diraikan hari ini adalah susulan tindakan melaporkan penawaran atau pemberian rasuah kepada SPRM bagi tahun 2022 dan kesemua mereka diberikan sijil pengiktirafan serta ganjaran wang tunai.

“Penghargaan ini adalah berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 19 Ogos 2010,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Amanat Tahun Baru dan Perhimpunan Bulanan SPRM di ibu pejabat suruhanjaya berkenaan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Azam berkata, beliau mahu warga SPRM supaya terus merungkai isu rasuah di negara ini kerana kesannya akan diterima oleh rakyat secara tidak langsung.

Ujar beliau, antara isu-isu yang perlu ditangani termasuk isu keterjaminan makanan dan kartel dalam perolehan yang menjadi rungutan rakyat selama ini.

“Rasuah dalam penguatkuasaan masih lagi menjadi igauan rakyat dan kita (SPRM) kena berfikir apakah tindakan kita yang lepas sudah mencukupi untuk mengurangkan masalah ini.

“Kerana itu, kaedah lebih berkesan seperti mewujudkan pasukan siasatan khas dengan agensi-agensi lain bagi menangani isu sindiket jenayah dan penggunaan kaedah siasatan proaktif perlu dipergiatkan,” katanya.

Katanya, penjenayah terbabit bukan sahaja perlu dibawa ke muka pengadilan tetapi harta diperoleh secara jenayah perlu dirampas dan dikembalikan semula kepada rakyat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI