fbpx

Tahun Baharu 2023 disambut meriah di seluruh dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Percikan bunga api dilihat di Champs-Elysees ketika sambutan ambang Tahun Baharu 2023 di Paris, Perancis. – AFP

PARIS – Lapan bilion penduduk dunia melangkah masuk ke Tahun Baharu 2023 dengan mengucapkan selamat tinggal kepada 2022 yang penuh dengan cabaran berikutan perang di Eropah, lonjakan harga barangan, aksi bergaya Lionel Messi dalam kejuaraan Piala Dunia serta kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Masyarakat dunia melupakan seketika perbelanjaan yang meningkat serta virus korona yang masih ada di sekeliling bagi menyambut kedatangan Tahun Baharu dengan meriah selepas dibataskan oleh pandemik beberapa tahun ini.

Tahun Baharu 2023 mula disambut oleh sebuah negara kepulauan kecil, Kiribati yang terletak di tengah Pasifik sebelum dirai oleh penduduk Russia dan New Zealand.

Ia kemudian disambut penduduk negara-negara lain merentasi dunia mengikut zon waktu ke seluruh Benua Asia dan Eropah.

Di Paris, sejumlah besar pelancong mengambil kesempatan untuk turut sama menyambut ambang Tahun Baharu bersama-sama rakyat Perancis dengan menyaksikan pertunjukan bunga api di sepanjang the Champs-Elysee.

Menurut polis, kira-kira satu juta orang hadir untuk memeriahkan acara itu.

“Kami berada di sini untuk merasai suasana sambutan Tahun Baharu serta menikmati waktu ini. Ia amat indah,” kata seorang remaja, Ilyes Hachelef.

Beberapa jam sebelumnya, di Australia, Sydney menjadi satu daripada bandar raya pertama yang  menyambut ketibaan 2023 dengan gelaran ‘Ibu Kota Malam Tahun Baharu Dunia’ selepas dua tahun tiada sambutan akibat pandemik Covid-19.

Lebih satu juta orang dilaporkan berkumpul di sepanjang dermaga Sydney untuk sambutan yang menelan belanja berjuta-juta dolar Australia berdasarkan tema ‘kepelbagaian dan keterangkuman’.

Lebih 7,000 percikan bunga api dilancarkan di atas Jambatan Harbor di samping 2,000 lagi dinyalakan dari Opera House.

“Ia menjadi tahun yang agak baik untuk kita. Melepasi fasa pandemik Covid-19 adalah sesuatu yang amat hebat,” kata seorang penduduk, David Hugh-Paterson, 52.

Namun, bagi sebilangan penduduk dunia, 2022 menjadi satu tahun yang menyaksikan dunia kehilangan ramai tokoh terkemuka termasuk kemangkatan monarki Britain paling lama memerintah, Ratu Elizabeth II, legenda bola sepak Brazil, Pele serta pembunuhan bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe. 

Dengan populasi global yang melepasi lapan bilion pada November lalu, 2022 akan diingati sebagai tahun di mana peperangan tercetus di Eropah selepas Russia melancarkan operasi ketenteraan ke atas Ukraine pada Februari.

“Ia merupakan tahun kita, tahun Ukraine,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy sebagai merujuk kepada perang di negara itu dalam ucapan Tahun Baharu beliau.

Sementara itu, di Bandar Raya New York, lokasi tumpuan ramai, Times Square dihujani dengan konfeti berwarna-warni yang menjadi tradisi menyambut Tahun Baharu sejak 1970-an dengan orang ramai dari seluruh dunia menunggu berjam-jam meskipun dalam keadaan hujan.

Di Asia Barat pula, tahun 2023 disambut dengan pertunjukan bunga api dari bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu.

Cahaya laser menghiasi mercu tanda itu yang bertulis pelbagai mesej termasuk: “Kembali berpelukan”, sebagai merujuk kepada penamatan sekatan Covid-19.

Keadaan bagaimanapun berbeza untuk China di mana negara itu bergelut dengan lonjakan kes Covid-19 selepas melonggarkan sekatan-sekatan yang mencegah penularan virus itu.

Acara-acara sambutan Tahun Baharu 2023 bagaimanapun tetap berlangsung di beberapa bandar walaupun pihak berkuasa Shanghai berkata, tiada aktiviti rasmi di kawasan tumpuan ramai, dermaga Bund. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI