fbpx

Piala Dunia: Malaysian Tigers ada kekuatan tersendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARHAN percaya corak permainan pantas yang digunakan bersesuaian dan skuad negara memiliki kekuatan tersendiri dengan adunan pemain berpengalaman dan pemain muda.

KAPTEN skuad hoki negara, Muhammad Marhan Mohd. Jalil percaya barisan 20 pemain terpilih membawa cabaran negara memiliki keistimewaan tersendiri bagi menghadapi saingan Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India dari 13 hingga 29 Januari ini.

Malaysian Tigers yang akan berlepas ke India pada 6 Januari, akan berdepan pasukan ran­king ketiga dunia, Belanda, New Zealand (No.9 dunia) dan Chile (No.22 dunia) dalam saingan Kumpulan C.

Bagi Marhan, pemain tengah berusia 32 tahun itu percaya kombinasi pemain yang dipilih barisan kejurulatihan diketuai Arul Selvaraj sesuai dengan corak permainan pantas hoki moden sekarang.

“Skuad kebangsaan kali ini bukan sahaja ada pemain berpe­ngalaman, tetapi juga tenaga-tenaga muda yang berbakat. Pemain muda yang dipanggil rata-ratanya laju dan kena dengan taktikal hoki sekarang.

“Saya yakin campuran pemain muda dan berpengalaman mampu untuk menggalas tugas skuad negara dengan sebaiknya bagi mencapai keputusan yang positif,” kata Marhan yang mempunyai 278 kaps antarabangsa.

Saingan Piala Dunia ini akan menjadi penampilan pertama Marhan bersama skuad negara selepas terlepas Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-Negara FIH disebabkan masalah kecederaan.

Ia juga bakal menjadi penampilan ketiga Marhan di pentas Piala Dunia selepas tersenarai dalam edisi 2014 di The Hague, Belanda dan 2018 di Bhubaneswar.

“Tanggungjawab saya lebih besar di Piala Dunia kerana saya dilantik sebagai kapten. Bukan mudah menggalas tugas kapten kerana banyak kerja yang perlu dilakukan.

“Saya harap mampu me­mimpin pasukan untuk dapatkan keputusan yang terbaik di Piala Dunia nanti sekali gus mencapai sasaran ditetapkan (suku akhir),” jelas pemain berasal dari Negeri Sembilan itu.

Malaysian Tigers di ranking No.11 dunia, akan menghadapi satu aksi pemanas badan menentang pasukan ranking kelapan dunia, Sepanyol pada 11 Januari sebelum memulakan aksi pertama Kumpulan C menentang Belanda empat hari kemudian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI