SUNGAI PETANI – Impian empat pasangan pengantin baharu untuk meraikan hari bahagia dengan majlis kenduri kahwin yang penuh meriah serta dihadiri ramai tetamu akhirnya ranap apabila sebuah syarikat perancang perkahwinan didakwa menipu mereka.
Pasangan pengantin itu mendakwa syarikat terbabit tidak memenuhi pakej perkahwinan yang telah dipersetujui, menyebabkan majlis yang dirancang rapi supaya dapat menjadi kenangan manis seumur hidup telah bertukar menjadi ‘huru-hara’.
Selain terpaksa berhutang kerana perlu mengeluarkan kos baharu dan tambahan untuk menyediakan peralatan dan perkhidmatan katering yang gagal disediakan syarikat itu, mereka juga menanggung malu kepada jemputan kerana majlis tidak berlangsung seperti diharapkan.
Seorang mangsa, Siti Azira Ahmad, 29, berkata, dia kerugian RM17,400 apabila syarikat itu gagal memenuhi pakej perkahwinan yang berlangsung pada 25 Disember lalu.
Menurutnya, majlis perkahwinan itu adalah untuk adiknya, Mohd. Sallahuddin Ahmad, 25, bersama pasangan, Nordiana Mohd. Nor, 23.
“Saya menaja semua kos perkahwinan adik bongsu kami melalui pakej RM12,400 untuk majlis perkahwinan yang berlangsung di Kampung Pulau Chengai, Gurun pada tarikh tersebut.
“Bagaimanapun, beberapa hari sebelum majlis dan pada hari kenduri itu juga, syarikat terbabit tidak muncul untuk menyediakan khemah, kerusi meja, pelamin, makanan minuman dan tidak menghantar baju pengantin.
“Keadaan itu menyebabkan saya sendiri terpaksa mengeluarkan wang tambahan sebanyak RM5,000 untuk menyediakan segalanya bagi mengelak majlis kami gagal,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Turut menjadi mangsa ialah pasangan pengantin baharu, Zaim Sofwan Mohamad Hambali, 26, dan Nurul Shalimatul Musliha Ab. Halim, 26.

Pasangan pengantin itu kesal kerana syarikat yang sama turut menipu mereka apabila gagal menyediakan pakej yang telah dipersetujui pada hari perkahwinan, 27 Disember lalu.
“Kami mengambil pakej RM7,500 yang kononnya merangkumi makanan untuk 600 orang jemputan, penyediaan pelamin dan khemah, malah pakej berbulan madu di Langkawi selama tiga hari dua malam.
“Bagaimanapun, majlis yang berlangsung di sebuah inap desa milik keluarga di Gunung Keriang, Alor Setar itu bertukar kecoh apabila makanan yang dibekalkan tidak mencukupi selain khemah yang dihantar tidak seperti dijanjikan,” ujar Zaim Sofwan.
Bagi Mohamad Amirul Mustafa, 26, dan isteri, Aisyaidayu Jamil, 25, yang menggunakan perkhidmatan syarikat itu turut menjadi mangsa.
Kata Mohamad Amirul, majlis perkahwinan mereka berlangsung di Kampung Permatang Rambai, Butterworth, Pulau Pinang pada 9 Oktober lalu.
“Kami mengambil pakej RM6,600 untuk majlis itu dan telah membuat bayaran penuh sejak 16 Mei lalu, tetapi tidak menyangka akan ditipu syarikat itu kerana tidak menyediakan sebarang peralatan atau makanan pada tarikh berlangsungnya majlis kenduri kami.
“Bagi mengelak menanggung malu, kami terpaksa meminjam wang daripada ahli keluarga terdekat untuk menyediakan makan minum, membuat pelamin dan menyewa khemah agar hari bersejarah kami berlangsung seperti biasa,” katanya.
Pasangan keempat yang mendakwa ditipu syarikat terbabit ialah Ahmad Bustamam, 27, dan Nurul Khairina Haris, 26.
Mereka mendakwa telah mengalami kerugian lebih RM10,000 kerana perlu mengeluarkan kos tambahan bagi menyediakan makan minum dan menyewa khemah agar majlis kenduri di Padang Geh, Kuala Ketil pada 24 Disember lalu tetap berlangsung.
“Pakej kami berharga RM7,500 yang merangkumi makanan untuk meraikan 600 jemputan, tetapi tidak mencukupi apabila hidangan habis hanya dalam tempoh sejam.
“Bagi mengelakkan jemputan tidak dapat makan, kami terpaksa mengeluarkan tambahan wang untuk mengupah tukang masak kampung menyediakan makanan agar majlis berjalan lancar,” katanya.
Kesemua mangsa penipuan syarikat ini kemudiannya berpakat membuat laporan polis kerana ingin menuntut ganti rugi selepas usaha menghubungi pasangan suami isteri yang didakwa mengendalikan syarikat terbabit gagal.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima semua laporan daripada mangsa pada 28 Disember lalu.
“Pihak polis sedang menjejaki suspek untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Siasatan sedang dijalankan oleh Bahagian Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda,” katanya.














