GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang mengeluarkan 475 saman bagi pelbagai kesalahan trafik dalam Op Ambang Tahun Baharu 2023 yang dijalankan semalam di seluruh negeri ini.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh, selain saman pihak polis turut menyita 33 buah motosikal kerana melanggar peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
“Op Ambang Tahun Baru ini menumpukan pada pemeriksaan kenderaan dan mengambil tindakan tegas terhadap penunggang motosikal bagi membendung kegiatan samseng jalanan.
“Polis mengambil tindakan menyita 33 motosikal yang melakukan kesalahan mengubah suai motosikal secara berlebihan dan mengeluarkan 457 saman terhadap pemilik kenderaan,” katanya ketika membuat tinjuan Op Motosikal di lorong motosikal Jambatan Pulau Pinang, di sini semalam.
Menurut Fisol, operasi yang dijalankan bermula 9 malam hingga 2 pagi itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang (JAS).
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama kegiatan samseng jalanan bagi memastikan ambang tahun baharu di Pulau Pinang tidak dicemari dengan kegiatan lumba haram,” katanya.
Tambahnya, pada tahun 2023, Pulau Pinang juga akan menjadi negeri model dalam usaha membendung dan membanteras kegiatan samseng jalanan menerusi pelbagai operasi pencegahan dan sebagainya. -KOSMO! ONLINE














