fbpx

Penduduk Kampung Iboi sedih rumah baharu belum siap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rumah baharu mangsa banjir kepala air yang masih belum siap di Kampung Keda Sadek, Kupang, Baling semalam.

BALING – Harapan mangsa banjir kepala air di Kampung Iboi di sini untuk memasuki rumah baharu seperti dijanjikan kerajaan negeri masih belum menjadi ke­nyataan biarpun hanya tinggal beberapa hari lagi tahun baharu akan menjelma.

Mangsa-mangsa banjir tersebut amat mengharapkan nasib mereka segera terbela memandangkan kebanyakan kediaman musnah dalam tragedi kepala air di kawasan itu baru-baru ini.

Tinjauan ke tapak rumah baharu yang terletak di Kampung Keda Sadek di sini mendapati, kediaman pertama yang dibina masih belum siap.

Di tapak futsal pula, masih lagi dilakukan kerja-kerja me­nimbun tanah kerana kawasan itu juga terlibat dengan banjir kilat.

Seorang penduduk, Abdul Rahman Said, 71, berkata, dia masih menunggu rumah baharu yang dijanjikan kerajaan yang dikatakan siap sepenuhnya pada Disember ini.

“Kerajaan berjanji hendak siapkan 12 buah tersebut sekitar Disember ini atau Januari tahun hadapan, tetapi sampai sekarang masih belum siap. Apa yang saya lihat, ada yang baru dipacak ­ti­ang.

“Lebih lima bulan kerja-kerja pembinaan terhenti di kawasan tapak futsal memandangkan kawasan itu sering dilanda banjir kilat,” katanya.

Menurutnya, dia memilih rumah yang dibina di tapak futsal tersebut, tetapi tidak tahu bila projek itu dapat disiapkan.

“Apa yang menjadi masalah adalah kawasan itu sering dilanda banjir kilat.

“Dalam hal ini, pihak berwajib perlu me­lakukan sesuatu kerana kami tidak mahu berterusan menjadi ­mangsa banjir selepas menduduki rumah itu nanti,” ujarnya.

Katanya lagi, buat masa sekarang, dia dan mereka yang terjejas dengan banjir tinggal di rumah sewa yang mana bayaran bulanannya dilunaskan oleh kerajaan sehingga Disember ini.

Ujarnya, mereka mungkin mendiami rumah sewa itu sehingga rumah baharu yang dijanjikan siap sepenuhnya.

Justeru, dia berharap agar kerajaan dapat menyambung bayaran sewa rumah itu kerana mereka kini tiada pendapatan.

Jika tidak katanya, mereka terpaksa memacak khemah sekiranya dihalau keluar dari rumah sewa itu.

“Saya dan mangsa banjir lain amat mengharapkan kerajaan mengambil serius segala masalah yang kami hadapi dan dapat menyelesaikannya segera dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Seorang lagi penduduk, ­Abdullah Ahmad, 66, berkata, sehingga kini dia bersama isterinya masih tinggal di dewan orang ramai yang berdekatan rumahnya.

Katanya, dia tidak tahu bila rumah baharu yang dijanjikan itu akan dapat disiapkan.

“Saya berharap agar kerajaan baharu yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum dapat me­lakukan sesuatu agar nasib kami terbela.

“Saya dan penduduk yang lain turut berharap agar perancangan kerajaan terdahulu tidak dibatalkan demi kebaikan dan kebajikan mangsa-mangsa banjir yang semakin tertekan,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI