fbpx

Nikmati kehijauan di tengah kota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IWK Eco Park di Pantai Dalam kini menjadi destinasi pilihan kepada warga kota untuk beriadah, bersukan atau bersantai bersama keluarga dan rakan.

KUALA LUMPUR – Kota raya Kuala Lumpur yang terletak di Lembah Klang ini menempatkan seramai kira-kira dua juta warga kota dan sememangnya terkenal dengan pelbagai tempat menarik yang menjadi tarikan bukan sahaja kepada pelancong, malah bagi penduduk setempat.

Bagi mereka yang gemarkan kawasan rekreasi, kini terdapat sebuah pusat sukan dan rekreasi yang penuh kehijauan di IWK Eco Park, Pantai Dalam bersesuaian untuk semua peringkat umur.

Pusat sukan dan rekreasi ini diurus oleh syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat IWK, Wan Esuriyanti Wan Ahmad berkata, apa yang menarik tentang taman eko ini adalah kemudahan bersukan dan beriadah, di samping kemudahan bagi mengadakan majlis keraian, karnival, bengkel atau mesyuarat serta hari keluarga bagi syarikat korporat atau agensi kerajaan.

Katanya, malah bagi anak muda yang inginkan latar belakang Instagram pula, mereka boleh mengadakan glam piknik di sini dengan menyewa peralatan berkelah yang menarik.

“Kehijauan unik di taman ini disumbangkan oleh hampir 2,600 batang pokok samada hiasan, herba dan hutan yang telah ditanam di sekitar kawasan.

“Bayangkan, suasana menghijau saujana mata memandang, redup dan menyegarkan minda dan badan. Bunyian air yang mendesir daripada air terjun serta tasik buatan manusia yang tenang mengamit pengunjung samada untuk berjoging atau beriadah bersama keluarga,” katanya.

IWK Eco Park@ Pantai Dalam kini menarik minat pelancong kerana ciri pembanguannya yang dipenuhi dengan tanaman flora dan fauna serta pokok hutan.

Kata Wan Esuriyanti lagi, IWK Eco Park @ Pantai Dalam ini telah dibuka kepada orang ramai sejak bulan Oktober lepas bagi pengunjung untuk beriadah, serta menjalankan majlis keraian dan sukan.

“Kawasan taman ini adalah terletak di atas Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 dekat sini.

“Ia adalah sebuah loji pertama yang beroperasi di bawah tanah dengan keupayaan rawatan air sisa kumbahan untuk 1.43 juta penduduk setara.

“Biarpun, proses rawatan air kumbahan terletak di bawah tanah, permukaan atasnya iaitu sekitar seluas 12 hektar telah menjadi sebuah taman yang kini dipenuhi dengan flora dan fauna serta keredupan pokok-pokok hutan,” jelasnya.

Kadar sewa yang sangat berpatutan menjadikan dewan yang disediakan di sini menjadi tarikan untuk penganjuran aktiviti sukan dan juga keramaian.

Tambahnya, IWK juga kini telah membelanjakan kos pembaikkan taman kira-kira RM2 juta bagi kerja-kerja naik taraf kemudahan di taman ini.

Pada masa yang sama, Wan Esuriyanti berkata, IWK komited untuk mengekalkan kehijauan di kawasan taman itu dan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat yang difokuskan adalah menganjurkan program menanam pokok hutan di kawasan yang telah dinamakan “Khazanah Rimba” di taman tersebut.

“Inisiatif “Khazanah Rimba” adalah usaha sama Persatuan Pencinta Alam atau Malaysia Nature Society (MNS).

Pelbagai majlis boleh dianjurkan di dalam dewan yang disediakan di taman tersebut.

“Melalui kempen Adopt a Tree, IWK dan MNS telah mendapat sumbangan orang ramai untuk menanam kira-kira 1,000 pokok hutan yang pelbagai spesis seperti Terap, Sentol, Merawan Bunga, Katol, Tampoi, Keruing, Merbau dan Belimbing Gunung,” ujarnya.

Bagi mereka yang berminat untuk menyewa atau mendapatkan keterangan lanjut, boleh hubungi talian 03-224 20 420 atau emel kepada [email protected].

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI