fbpx

Isu penamatan pegawai kontrak tidak berdasarkan kepentingan peribadi- LHDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Isu penamatan pegawai kontrak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) tidak didorong oleh kepentingan peribadi mana-mana pihak, namun berdasarkan hasrat untuk meningkatkan kecekapan operasi agensi ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, LHDN berkata proses kerja di agensi ini telah melalui pelbagai fasa digitalisasi yang pesat sekali gus membolehkan kebanyakan tugasan dan fungsi kerja di LHDN diautomasikan.

“LHDN telah memperkemaskan struktur organisasinya yang mana turut melibatkan penstrukturan sumber manusia. Pelaksanaan ini turut melibatkan isu mengkaji semula keperluan untuk menggaji pegawai kontrak bulanan dan harian di agensi ini.

“Keputusan untuk tidak meneruskan amalan menggaji pegawai kontrak bulanan dan harian telah dibuat pada tahun 2018 dan diputuskan untuk dilaksanakan secara sepenuhnya bermula pada 1 Januari tahun hadapan.

“Namun demikian, pemakluman berkenaan keputusan untuk tidak mengambil pegawai kontrak ini telah pun dijelaskan seawal tahun 2022 kepada para pegawai yang terlibat,” katanya.

Tambahnya, pemakluman itu bertujuan untuk memberi ruang dan masa kepada pegawai yang terkesan untuk mengatur perjalanan kerjaya mereka selain mencari peluang pekerjaan di pasaran terbuka.

Jelasnya lagi, hasil kutipan cukai langsung negara tidak boleh digunakan semata-mata bagi tujuan penyambungan kontrak para pegawai ini seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Sementara itu, LHDN berkata penawaran lantikan ke jawatan tetap ke peringkat lebih tinggi iaitu ke peringkat eksekutif turut diberikan kepada pegawai-pegawai kontrak berdasarkan merit kelayakan dan kesesuaian jawatan.

Walau bagaimanapun, lantikan ke jawatan tetap secara menyeluruh kepada semua pegawai kontrak tidak dapat dilaksanakan bagi memastikan keseimbangan peluang antara calon kategori lain yang berkelayakan seperti calon dalam kalangan pegawai tetap sedia ada dan calon daripada luar LHDN.

“LHDN turut mengambil inisiatif membantu pegawai yang terkesan untuk mendapatkan pekerjaan melalui penganjuran program bersama dengan syarikat-syarikat ejen cukai.

“Contohnya, agensi ini terlibat dalam penganjuran program MYFutureJobs yang dilaksanakan oleh PERKESO kepada pegawai kontrak yang sedang berkhidmat di LHDN. Program ini adalah salah satu kaedah pencarian kerja dalam kalangan pegawai kontrak yang bakal menamatkan perkhidmatan dengan pihak kami pada 31 Disember nanti,” katanya.

Penamatan ini akan melibatkan seramai 42 orang pegawai kontrak bulanan dan 998 orang pegawai kontrak harian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI