fbpx

‘Geng Tong Gas’ tumpas, sembilan kes pecah premis perniagaan selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN Mohd Zahari Wan Busu (dua, kanan) menunjukkan tong gas ya g dirampas dari “Geng Tong Gas” yang giat menjalankan kegiatan mencuri tong gas sekitar Kuantan.

KUANTAN – Polis berjaya menumpaskan kegiatan sekumpulan penjenayah yang aktif mencuri tong gas dengan penahanan tiga lelaki.

Penahanan tersebut sekali gus menyelesaikan sembilan kes pecah premis perniagaan dan kecurian tong gas di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu berkata, kumpulan yang dikenali sebagai ‘Geng Tong Gas’ itu dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri tong gas bermula awal Oktober lalu.

Katanya, pihak polis telah menerima sembilan laporan polis berkaitan kejadian pecah kedai makan, kedai runcit, kedai dobi serta medan selera dan mencuri tong gas di sekitar kawasan Permatang Badak, Kemunting, Indera Mahkota, Air Putih dan Jalan Beserah.

“Suspek memecah masuk premis-premis perniagaan in dan memilih tong gas sebagai sasaran untuk dilarikan atau dicuri.

“Selain daripada kehilangan satu atau dua tong gas, terdapat premis yang mengalami kehilangan sehingga 14 tong gas dalam satu masa,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Anggerik, Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini.

Tambahnya, antara premis yang mengalami kehilangan tong gas dalam kuantiti yang banyak adalah empat buah kedai dobi layan diri, dua buah kedai makan, dua buah kedai runcit dan sebuah medan selera.

“Di dalam kejadian ini mangsa akan mengalami kerugian di antara RM140 ke RM2,000 mengikut harga semasa gas bersama tong. Anggaran kerugian keseluruhan bagi kes pecah premis dan curi tong gas in mencecah RM 20,000,” katanya.

Menurutnya, bertindak atas hasil risikan, dua lelaki warga tempatan berusia 27 dan 32 tahun berjaya ditahan pada 24 Disember lalu di hadapan Bangunan Tabung Haji Jalan Bukit Ubi, dekat sini.

“Pasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah daerah Kuantan telah menahan sebuah kereta yang dinaiki suspek dan hasil pemeriksaan menemui empat biji tong gas di bahagian tempat duduk belakang serta empat biji tong gas dan sebatang pemutar skru di bahagian bonet kereta.

“Hasil daripada siasatan lanjut terhadap suspek, pada 27 Disember lalu, pihak polis telah menahan seorang lelaki warga asing berusia 32 tahun serta merampas 42 biji tong gas di sebuah stor di kawasan Perindustrian Semambu.

“Siasatan awal mendedahkan warga asing berkenaan menjalankan aktiviti jual beli tong gas secara haram di mana dia didapati membeli tong gas dari dua orang suspek warga tempatan terbabit pada harga RM40 sebelum dijual pula kepada pelanggannya pada harga RM50,” katanya.

Wan Zahari berkata, hasil siasatan lanjut ke atas dua lelaki warga tempatan itu mendapati kedua-dua suspek yang berasal dari Kuantan itu mempunya rekod lampau kesalahan jenayah dan narkotik.

“Kesemua suspek yang ditahan reman sehingga esok (30 Disember) dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah atau premis dan curi dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan barangan curi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI