fbpx

Agensi tepis dakwaan kekasih Song Joong-ki hamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AGENSI Song Joong-ki menafikan aktor popular itu akan mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat sekali gus menepis khabar angin wanita itu sedang hamil.

SEBAIK aktor Song Joong-ki mengesahkan sudah mempunyai kekasih, beberapa agensi berita mendedahkan identiti pencuri hatinya adalah pelakon British berusia 38 tahun bernama Katy Louise Saunders.

Aktres yang dikatakan menjadi guru bahasa Inggerisnya bagi drama bersiri Vincenzo didakwa kerap menemani Joong-ki di beberapa majlis termasuk ketika berkunjung ke Singapura bagi mempromosikan Reborn Rich, baru-baru ini.

Tidak hairan dalam sesi sidang akhbar lebih sejam membabitkan kehadiran media rantau Asia Tenggara disusuli sesi temu bual khas tersebut, aktor berusia 37 tahun itu tampil yakin berbahasa Inggeris sepenuhnya.

Difahamkan, pekerja pelakon tersebut yang turut serta dalam promosi di sana tidak menyedari status kedua-duanya kerana menyangka wanita itu sebahagian daripada pasukan mereka.

Begitupun, sebilangan lagi mendakwa sudah dapat menghidu Joong-ki dan wanita kelahiran London itu mempunyai hubungan istimewa melihatkan bahasa tubuh mereka.

Akhirnya, di Kota Singa yang juga destinasi promosi ‘junket’ bagi drama bersiri terbitan Viu Original tersebut dia memperkenalkan Saunders sebagai kekasih kepada kakitangan agensi.

Dua hari kemudian, pasangan itu dirakam lensa kamera media yang menunggu kepulangan Joong-ki dari Singapura di Lapangan Terbang Incheon sekali gus memberi petanda dia semakin terbuka mendedahkan statusnya kepada umum.

Selain membawa cinta hati menghadiri majlis perkahwinan di Bali, Indonesia pada Oktober, Joong-ki dilaporkan turut hadir bersama kekasihnya di resepsi pemain golf, Lim Sung-jae di Lotte Hotel World, Seoul pada 17 Disember lalu.

Berdasarkan carian, Saunders yang berdarah campuran Inggeris dan Colombia dibesarkan di Itali selepas keluarganya berhijrah ke negara tersebut.

Antara filem lakonannya yang menyerlah adalah The Lizzy McGuire Movie yang ditayangkan
pada 2003, selain Third Person (2013) dan Los Borgia (2006).

Bagaimanapun, Saunders difahamkan sudah tidak lagi berlakon.

Meskipun agensi pengurusan Joong-ki, HighZium Studio sudah mengesahkan status cinta aktor itu kepada umum, namun identiti Saunders masih belum diumumkan.

Malah menerusi kenyataan rasmi agensi tersebut, sebarang spekulasi berhubung cinta mahupun khabar mereka bakal mendirikan rumah tangga adalah tidak sahih jika bukan daripada wakilnya.

Secara tidak langsung menangkis dakwaan kekasih bintang kesayangan ramai itu kini hamil selepas ada sumber terserempak dengan pasangan berkenaan di sebuah klinik keluarga.

Sebelum ini, timbul desas-desus yang mendakwa Joong-ki dalam perancangan mendirikan rumah tangga sebaik kekasihnya disahkan hamil.

Untuk rekod, Joong-ki pernah berkahwin dengan aktres, Song Hye-kyo pada 2017 selepas sama-sama membintangi drama fenomena, Descendants of The Sun, namun bercerai tiga tahun kemudian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI