fbpx

Tanah runtuh: Operasi SAR Batang Kali ditamatkan secara rasmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Acryl Sani bersama seluruh anggota yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm, di Jalan Batang Kali-Genting Highlands

HULU SELANGOR- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, ditamatkan secara rasmi pada pukul 12 tengah hari tadi.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu sidang akhbar hari ini.

“Berdasarkan keterangan daripada waris-waris mangsa, dan laporan-laporan polis yang kita perolehi, kita telah memuktamadkan jumlah mangsa yang terlibat adalah 91 orang dimana 61 orang terselamat manakala 31 orang telah terkorban.

“Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan, kerana semalam sekitar pukul 4.30 petang, kita telah menjumpai mangsa yang terakhir iaitu seorang kanak-kanak lelaki.

“Saya memutuskan pada hari ini, untuk menutup operasi SAR tanah runtuh Batang Kali secara rasminya, pada pukul 12 tengah hari ini,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, beberapa agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Jabatan Mineral dan Geosains, Majlis Daerah Hulu Selangor masih akan berada di lokasi kejadian untuk kerja-kerja teknikal dan berkaitan dengannya.

Sementara itu, Acryl Sani turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua agensi-agensi, para petugas, dan anggota atas kerjasama yang diberikan sepanjang operasi SAR yang berjalan selama sembilan hari.

Katanya, bagi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), selalu Komander Pos Kawalan Tempat Kejadian, ribuan penghargaan diucapkan kepada semua agensi khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berperanan sebagai Timbalan Komander.

“Tidak lupa juga kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam, JKR, Jupem, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

“Mereka yang terlibat ini, semuanya bertugas hampir 20 jam sehari dan hanya berhenti untuk berehat atau faktor cuaca sahaja. Kecekalan dan kesungguhan seluruh kumpulan harus kita puji.

“Semua petugas melihat diri mereka secara kolektif dan bukannya secara individu. Saya berharap semangat berpasukan ini akan diteruskan sampai bila-bila. Syabas saya ucapkan,” katanya.

Acryl Sani juga mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, syarikat-syarikat telco, dan seluruh pengamal media kerana komited dalam menjayakan operasi SAR sehingga ke hari ini.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak perkhemahan, Fathers Organic Farm pada Jumaat, 16 Disember lalu telah meragut 31 nyawa, daripada jumlah rasmi keseluruhan iaitu 92 orang.

Mangsa-mangsa yang maut terdiri daripada enam lelaki dewasa, 14 wanita, enam kanak-kanak lelaki, lima kanak-kanak perempuan dan seorang bayi lelaki. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI