KISAH seram sering kali dikaitkan dengan jelmaan makhluk halus sama ada menyerupai wanita, mahupun lembaga berpakaian putih, selain mempunyai rupa yang hodoh.
Bertemu atau melihat kelibat jelmaan tersebut juga pasti menjadi satu pengalaman ngeri tidak boleh dilupakan oleh sesiapa sahaja yang pernah melaluinya.
Begitu juga dengan Nasir (bukan nama sebenar) yang pernah mengalami pengalaman bertemu dengan makhluk halus menyerupai seorang wanita.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku ketika dia menuntut pada semester pertama di sebuah universiti di utara Semenanjung kira-kira 20 tahun lalu.
Pemuda berasal dari Kelantan itu merupakan seorang yang aktif dalam sukan dan rekreasi sejak di bangku sekolah menengah lagi.
“Selepas diterima menyambung pengajian di sebuah universiti awam di utara Semenanjung, saya masih mengekalkan gaya hidup sihat kerana sudah menjadi minat atau hobi.
“Sekiranya tiada kuliah pada waktu malam, saya akan memperuntukkan masa selama kira-kira satu jam untuk berjoging di sekitar asrama dan kampus.
“Biasanya, saya akan berjoging dengan ditemani beberapa rakan terutama pada malam hujung minggu. Ini kerana pada siang hari kami sukar berjoging bersama memandangkan jadual kelas tidak sama,” katanya.
Cerita Nasir lagi, kejadian seram tersebut berlaku ketika dia terpaksa menetap di asrama pada waktu cuti semester disebabkan terlibat dengan aktiviti universiti.
Disebabkan semua rakannya telah pulang ke kampung, dia terpaksa berjoging seorang diri kerana aktiviti tersebut sudah sebati dengan dirinya.
Namun, pada malam tersebut, dia terpaksa memulakan aktiviti berkenaan agak lewat kerana perlu menghadiri satu mesyuarat jawatankuasa pelaksanaan sebuah program yang disertainya.
“Disebabkan mesyuarat tamat pukul 11 malam, saya hanya mula berjoging setengah jam kemudian iaitu selepas pulang ke asrama dan menukar pakaian yang sesuai.
“Seperti biasa, saya akan meregangkan badan terlebih dahulu sebelum memulakan larian menyusuri laluan pejalan kaki di kawasan asrama. Kemudian, saya menuju ke kawasan lain di sekitar kampus dengan jarak keseluruhan kira-kira 15 kilometer.
“Selepas sejam berjoging, saya mengambil keputusan untuk berpatah semula ke asrama. Saya ingin menamatkan larian dengan melalui kawasan tasik yang terletak bersebelahan kediaman pelajar,” katanya.
Menurut Nasir lagi, disebabkan ketika itu cuti semester, kawasan kampus terutama kediaman pelajar agak sunyi dan hanya sebilangan pelajar yang masih tinggal di asrama dengan kebenaran pihak universiti.
Tambahnya, ketika melalui jambatan kayu yang menghubungkan dua buah tasik di kampus tersebut, dia terlihat kelibat seorang wanita berjoging tidak jauh dari lokasinya berada.
“Ketika itu, saya beranggapan ia merupakan seorang pelajar perempuan yang sedang berjoging seperti saya.
“Tanpa menghiraukan wanita berkenaan, saya meneruskan aktiviti joging dengan menuju ke arah asrama saya yang terletak kira-kira 500 meter dari situ untuk menamatkan larian.
“Sebaik saya menghampiri wanita itu dengan jarak kami kira-kira 30 meter, dia kemudiannya membelok ke arah tebing tasik sebelum meneruskan larian.
“Apa yang menghairankan, wanita itu berjoging di atas air tasik sedangkan tiada sebarang jambatan merentasinya,” katanya.
Tergamam dengan apa yang dilihatnya, Nasir terus berlari laju menuju ke arah asrama sambil bibirnya membaca beberapa surah di dalam al-Quran bagi mengelak dirinya diganggu makhluk halus itu.
Dia memilih untuk tidak menceritakan kejadian yang dilihatnya itu kepada sesiapa sehingga selepas semester baharu dibuka.
Sebaik menceritakan kejadian seram itu kepada salah seorang senior di asramanya, barulah dia tahu bahawa sudah ramai pelajar universiti itu yang terserempak dengan lembaga menyerupai wanita berkenaan pada waktu malam.
Menurut cerita pelajar senior tersebut, kejadian seram itu kerap dikaitkan dengan peristiwa sebuah kubur lama yang terletak di pinggir kawasan tasik sebelum dipindahkan ke satu kawasan baharu.
Sejak pemindahan kubur itulah, lembaga wanita berkenaan kerap menjelma dan memunculkan diri pada waktu malam di sekitar kawasan tasik tersebut.
Selepas kejadian itu, Nasir tidak lagi menjadikan laluan di tasik tersebut sebagai lokasinya berjoging.
Sebaliknya, dia hanya berlari di sekitar kawasan kampus dan asrama bagi memenuhi minatnya terhadap aktiviti tersebut.














