fbpx

Waris petani maut disengat tebuan dapat manfaat Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
John Riba menyerahkan bayaran faedah Perkeso kepada waris Ramlidin di Kota Warisan, Sepang kelmarin.

SEPANG – Seorang wanita yang kehilangan suami akibat disengat tebuan ketika bekerja di kebun miliknya pada 9 Disember lalu melahirkan kesyukuran apabila dimaklumkan layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Salina Mat Ali, 48, berkata, kejadian menimpa arwah suaminya, Allahyarham Ramlidin Ahkemat itu telah menarik perhatian Perkeso yang kemudiannya mendapati bahawa dia merupakan pencarum bersama pertubuhan itu.

“Pada mulanya saya langsung tidak mengetahui bahawa arwah suami mencarum bersama Perkeso kerana dia bekerja sendiri dan tiada memaklumkan kepada saya, namun bersyukur kerana beliau berbuat demikian (mencarum).

“Selepas arwah meninggal dunia, barulah saya dimaklumkan bahawa dia ada mencarum. Seolah-olah arwah membuat persiapan sebelum meninggalkan saya dan anak-anak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kota Warisan di sini kelmarin.

Terdahulu, kediaman tersebut telah diziarahi oleh Timbalan Ketua Eksekutif Perkeso, John Riba Marin dan Ahli Majlis Perbandaran Sepang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Persatuan Penduduk Zon Putra Perdana, B. Chendren.

Kehadiran tersebut adalah bagi menyampaikan bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berserta bungkusan kotak Prihatin Perkeso kepada balu Allahyarham.

Allahyarham Ramlidin me­ninggalkan seorang balu dan tiga anak yang masing-masing berusia 14, 12 dan 10 tahun selepas disengat oleh kira-kira 20 ekor tebuan ketika bekerja di kebunnya.

Susulan kejadian itu, balu dan anak-anaknya layak menerima faedah Perkeso kerana Allahyarham dilindungi di bawah Pelan 2 Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789).

John Riba berkata, hanya seminggu sebelum tragedi me­nimpa, Allahyarham Ramlidin telah mencarum dengan Perkeso di bawah SPS Tani, inisiatif Program SPS Padanan Caruman.

“Ini melayakkan balu Allahyarham dan tiga anaknya meneri­ma FPM sebanyak RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM1,395 sebulan.

“Bayaran FPM akan dibayar sekali, manakala FOT akan dibayar setiap bulan bermula 1 Januari 2023 sehingga seumur hidup si balu sementara anak-anak pula sehingga berusia 21 tahun atau berkahwin atau tamat pengajian ijazah pertama,” ujar beliau.

Menurut John Riba, kerajaan telah memperkenalkan insiatif SPS Padanan Caruman dalam Bajet 2022 yang bertujuan untuk memperluaskan perlindungan keselamatan sosial bagi mereka yang bekerja sendiri dalam sektor informal yang disasarkan.

“Menerusi SPS Tani, petani atau pengusaha ladang dan tanaman hanya membayar 20 peratus daripada jumlah caruman Pelan 2 SKSPS iaitu RM46.60 untuk perlindungan setahun, manakala kerajaan membiayai selebihnya, sebanyak RM186.20 (80 peratus),” katanya.

Jelasnya, sehingga 1 November lalu, sejumlah RM10.8 juta telah dibayar kepada 3,965 orang pene­rima faedah bawah SKSPS.

“Sememangnya malang tidak berbau. Justeru, carumlah segera di Portal Matrix Perkeso atau mana-mana 54 pejabat Perkeso,” ujar beliau, sambil menambah tarikh tutup bagi insentif di bawah SPS Padanan Caruman adalah 31 Disember 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI