fbpx
PEUGEOT 5008 Allure tampil dengan lampu siang (DLR) seperti taring singa dan gerigi depan tanpa bingkai.

SUV tujuh tempat duduk Peugeot 5008 Allure

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEUGEOT 5008 ketika diperkenalkan pada tahun 2009 berada dalam kelas kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk jenama dari Perancis itu.

Pada ketika itu juga, MPV tersebut merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di Gurun, Kedah.

Rekaan yang menarik antara faktor Peugeot 5008 berjaya menerima anugerah MPV of the Year pada tahun 2010 daripada majalah What Car?.

Pada tahun 2013, model itu telah menerima naik taraf terutamanya pada bahagian luaran supaya kelihatan lebih menarik dan mengikut peredaran masa.

Tiga tahun selepas itu, pada Pameran Motor Paris 2016, jenama tersebut telah membuat debut generasi kedua Peugeot 5008. Kali ini model tersebut telah diperkenalkan dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV).

Perubahan segmen telah menyebabkan rekaan kenderaan ini berubah menjadi lebih tinggi dengan rupa yang semakin agresif.

Di Malaysia, Bermaz Auto Alliance Sdn. Bhd. yang merupakan pengedar jenama itu telah melancarkan model 5008 generasi kedua dipertingkatkan pada November 2021.

PEUGEOT 5008 Allure menggunakan rim Detroit berukuran 18 inci.

Model varian tunggal 5008 Allure yang masih dipasang oleh kilang di Gurun ini menawarkan konfigurasi tujuh tempat duduk.

Pada pendapat penulis, dua tempat duduk di barisan ketiga kenderaan ini mungkin selesa untuk kanak-kanak atau orang dewasa bersaiz sederhana.

Menariknya, tempat duduk barisan ketiga itu boleh dilipatkan atau ditutup dengan kemas.

Sekiranya tempat duduk barisan ketiga direbahkan, ruang simpanan SUV ini boleh mencecah 952 liter.

Namun, sekiranya mahukan ruang lebih luas tempat duduk barisan kedua juga boleh direbahkan. Keluasan ruang simpanan boleh mencecah 2,042 liter.

Panjang Peugeot 5008 Allure berukuran 4,670 milimeter (mm), 1,855 mm lebar, 1,655 mm tinggi dan jarak antara roda 2,840 mm.

PEUGEOT 5008 Allure yang diperkenalkan pada November 2021 di negara ini dilengkapi dengan tujuh tempat duduk.

SUV ini berkongsi enjin dan transmisi yang sama dengan dengan model 3008 iaitu 1.6 liter turbo dengan transmisi enam kelajuan automatik.

Kuasa maksimum yang ditawarkan oleh SUV ini melalui kobinasi enjin dan transmisi tersebut adalah 165 hp dan tork 240 Nm. Sekadar makluman, model berkenaan menggunakan tangki petrol bersaiz 56 liter.

Dari sudut luaran, model yang telah dipertingkat ini mengalami perubahan terutamanya lampu siang (DRL) seperti taring singa dan jeriji hadapan tanpa bingkai.

Rekaan lampu hadapan yang dibina semula itu membuatkan model ini nampak lebih agresif.

Tambahan pula, ia menggunakan teknologi LED dengan lampu membelok.

Pada bahagian belakang pula, lampu model ini telah dipertingkatkan dengan menggunakan LED penuh serta efek tiga dimensi (3D). Di sebelah sisi, 5008 Allure menggunakan rim Detroit berukuran 18 inci dengan tayar 225/55.

Masuk ke ruang kabin, SUV ini menawarkan ciri-ciri Peugeot i- Cockpit yang hampir sama dengan model 3008 Allure.

Ia dilengkapi dengan skrin 12.3 inci, stereng yang kompak dan skrin sentuh bersaiz 10 inci.

Teknologi keselamatan yang hadir bersama 5008 terdiri daripada Hill Assist Descent Control (HADC), enam beg udara keselamatan, Anti-lock Braking System (ABS) dan Electronic Stability Program (ESP). Ia juga dilengkapi

Electronic Brake-Force Distribution (EBD), Emergency Brake Assist (BA), Dynamic Stability Control (DSC), Anti-Skid Regulation (ASR) dan Hill Start Assist.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN