fbpx

Syafinaz mohon netizen berhenti kecam Fieqa ATNM2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAFINAZ harap netizen berpada-pada dalam menulis kecaman terhadap peserta ATNM2. Fieqa.

PETALING JAYA – Guru vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat melahirkan rasa lega apabila peserta All Together Now Malaysia musim kedua (ATNM2) yang dikenali sebagai Fieqa terbuka menerima teguran susulan dikecam tidak beradab baru-baru ini.

Menurut Syafinaz yang juga seorang penyanyi, teguran kepada peserta tersebut demi membentuk akhlak generasi muda yang ingin berkecimpung dalam dunia seni.

“Saya gembira adik (panggilan untuk Fieqa) menerima teguran saya dan Catriona dengan hati terbuka. Sebagai kakak yang lebih dewasa serta matang adalah menjadi tugas kami untuk menegur secara baik dan selembut boleh.

“Ini bagi memperbaiki kesilapan secara sengaja mahupun tidak kepada adik-adik yang baru ingin berjinak dalam bidang ini khususnya dan menyedarkan masyarakat secara amnya,” katanya dalam InstaStorynya hari ini.

Dalam masa sama, juri Gegar Vaganza itu juga berharap teguran yang diberikan kepada Fieqa dipraktikkan oleh individu lain agar sentiasa menjaga adab dalam setiap penulisan mereka.

“Tapi malangnya nasihat itu hanya berhenti kepada adik Fieqa dan tidak sampai kepada netizen di luar sana berdasarkan kepada cara penulisan mereka kepada adik sendiri.

“Setiap manusia sentiasa membuat kesilapan. Apa yang penting adalah keinginan dan usaha setiap individu untuk memperbaiki diri sendiri,” katanya lagi.

Syafinaz yang juga Kapten dan ketua juri ATNM2 turut bersimpati dengan nasib yang menimpa Fieqa dan berharap agar netizen berhenti daripada terus melemparkan kecaman.

“Saya bersimpati terhadap Fieqa kerana mendapat kecaman yang begitu hebat daripada netizen.

“Buat semua, hentikan kecaman dan cara penulisan yang toksik serta berikan ruang untuk dia memperbaiki dirinya.

“Kita ambil iktibar daripada situasi ini untuk memperbaiki diri kita sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Fieqa yang berusia 16 tahun menerusi Instagramnya mengakui kesilapan dan enggan menjelaskan secara terperinci mengenai insiden tular tersebut kepada umum.

Sejak beberapa hari lalu nama Fieqa menjadi bualan dalam media sosial usai menjawab kritikan seorang juri ATNM2 iaitu Catriana Ross. Balasan bersahaja Fieqa disifatkan tidak beradab sehingga mencetuskan kecaman hebat netizen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI