fbpx

Small Town Heroes jadi penyuntik semangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMBIKINAN Small Town Heroes mengambil inspirasi daripada kehidupan harmoni masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

MENJULANG tujuh anugerah pada Filem Festival Malaysia ke-32 (FFM32), siapa sangka, karya kecil Small Town Heroes merupakan karya berbahasa Mandarin yang berjaya menempatkan diri setanding filem hebat Mat Kilau dan Split Gravy dalam festival bertaraf nasional.

Karya komedi arahan Ryon Lee Eng Keong itu juga berjaya menundukkan Syamsul Yusof dalam kategori Pengarah Terbaik.

Kemenangan yang tidak disangka-sangka tersebut diikuti dengan anugerah Poster Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Sinematografi Terbaik, dan Cerita Asal Terbaik.

Bukan itu sahaja, pelakon yang terlibat dalam filem tersebut juga berjaya menjulang trofi dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik (Layla Sania) dan Phua Chandler mendahului calon lain sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik.

Penerbit filem Small Town Heroes, Aron Koh mengakui tidak menyangka akan memenangi tujuh anugerah dalam FFM32 yang berlangsung pada 2 Disember lalu.

“Saya berasa kagum dan tidak menyangka dapat meraih tujuh trofi pada malam FFM37 kerana Small Town Heroes merupakan filem yang sepenuhnya menggunakan bahasa Mandarin.

LAYLA SANIA (tengah) sememang menjadi harapan pasukan produksi dan Aron (kanan) untuk meraih trofi Pelakon Harapan Wanita dalam FFM32. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

“Biarpun begitu, kami yakin akan memenangi trofi dalam dua kategori iaitu Pelakon Harapan Wanita dan juga Pelakon Kanak-Kanak Terbaik,” ujar Aron.

Meskipun tidak menelan perbelanjaan besar tetapi pihak produksi turut menghadapi beberapa cabaran selama menghasilkan Small Town Heroes yang dinspirasikan daripada kisah benar pengarahnya, Ryon Lee.

“Cabaran terbesar dalam menghasilkan filem ini adalah masa terhad untuk menjalani penggambaran di enam negeri iaitu Penang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur,” ujar Ryon.

Produksi juga berdepan masalah untuk mengawal sekitar 30 orang kanak-kanak yang merupakan anak-anak yatim berusia lingkungan lapan hingga 14 tahun sebagai pelakon tambahan dalam filem berkenaan.

“Kami biar mereka untuk bermain-main supaya mereka boleh berlakon secara natural di hadapan kamera,” jelas Ryon.

Berkongsi lanjut, kejayaan Small Town Heroes juga menyuntik semangat penerbit untuk menghasilkan lebih banyak karya berkualiti, termasuk sebuah filem genre seram berkerjsama dengan produksi China ketika ini.

Bagaimanapun, kerjasama tersebut tidak mudah memandangkan banyak proses yang perlu dilalui sebelum pembikinannya diluluskan.

FILEM Small Town Heroes yang ditayangkan pada Februari tahun ini kurang mendapat kutipan disebabkan PKP.

“Perancangan seterusnya adalah kerjasama bersama produksi China untuk menghasilkan sebuah filem seram. Tajuk filem tersebut masih belum diputuskan tetapi penghantaran skrip ke China telah dibuat untuk proses tapisan.

“Banyak proses yang perlu dilalui untuk masuk ke pasaran luar, tambahan China merupakan sebuah negara komunis.

“Sebelum memulakan penggambaran, kami perlu menghantar skrip penuh untuk tapisan dan selepas lulus mereka akan sediakan sijil.

“Permit penggambaran akan diterima setelah projek diselesaikan dan projek filem perlu dihantar sekali lagi untuk tapisan kali kedua. Proses akhir adalah pemeriksaan teknikal,” tutur Aron.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI