fbpx

Reka bina Masjid Habib unsur seni Jawi Peranakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEER Sadik (kiri) menunjukkan pelan Masjid Habib kepada Tun Ahmad Fuzi ketika menyempurnakan majlis pecah tanah di Bandar Tanjong Pinang, Tanjong Tokong, George Town, di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Pengeluar dan peruncit barangan kemas terkemuka, Kumpulan HABIB mengorak langkah membangunkan sebuah masjid yang bakal menjadi pusat ibadah dan komuniti di Bandar Tanjong Pinang, Tanjong Tokong, di sini.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Meer Sadik Habib berkata, pembinaan masjid tersebut merupakan hasrat Allahyarham bapanya, Datuk Habib Mohamed Abdul Latif yang mahu membangunkan masjid di tempat asalnya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Sebelum ini kami ada membina masjid di luar negara, dan ini adalah kali pertama Masjid Habib dibina di dalam negara serta di tanah kelahiran ayah saya.

“Sebelum ini, memang ayah ada menyatakan hasrat untuk membina sebuah masjid di bahagian pulau di Pulau Pinang, jadi masjid ini terbina bermula daripada impian ayah,” katanya selepas menghadiri majlis pecah tanah Masjid Habib, di Tanjong Tokong di sini hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis pecah tanah itu ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan lain-lain jemputan.

Menurutnya, Masjid Habib tersebut akan dibangunkan dengan anggaran kos bernilai RM25 juta dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan iaitu pada Mei 2024.

“Masjid ini bakal dilengkapi dengan ruangan untuk pelbagai acara selain tempat beribadah dengan keluasan 8,615 meter persegi,” katanya.

Tambahnya, pembinaan dan hiasan masjid itu diterapkan dengan unsur-unsur seni komuniti kacukan, Jawi Peranakan di Pulau Pinang.

“Reka bentuk kubah diambil daripada potongan intan yang unik sebagai penghormatan kepada budaya pemakaian barang kemas masyarakat Jawi Peranakan.

“Harapan kami adalah untuk melihat Masjid Habib bukan sahaja sebagai pusat ibadah tetapi sebagai pusat komuniti yang menyatukan masyarakat setempat,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, masjid itu mampu menampung lebih daripada 1,500 jemaah pada satu-satu masa dan ia turut dilengkapi kemudahan lain untuk kegunaan awam seperti bilik kuliah, bilik mesyuarat serta dewan serbaguna.

“Taman hijau akan turut menghiasi masjid bersama menara masjid konsep tanglung akan memberikan pemandangan tenang serta menambah reka bentuk vernakular moden kepada pengunjung masjid,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI