fbpx

Rancangan perolehan aset baharu TUDM tidak terganggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Asghar Khan Goriman Khan menyampaikan anugerah pada Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM Tahun 2022 yang diadakan di Pangkalan Udara Sendayan, Bandar Sri Sendayan, Seremban hari ini. - FOTO/ MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

SEREMBAN – Rancangan perolehan aset baharu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan itu tidak terganggu dalam proses peralihan kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, tiada sebarang penangguhan yang akan berlaku dalam proses perolehan aset berkenaan termasuk pesawat peronda maritim (MPA), sistem pesawat tanpa pemandu (UAS), pesawat tempur ringan dwi fungsi ‘Fighter-Lead-In-Trainer/Light Combat Aircraft’ (FLIT-LCA) dan sistem radar pertahanan udara.

“Bagi MPA dan Medium Altitude Long Endurance -UAS, kami telah menandatangani dokumen menerima surat anugerah (LOA) pada 25 Oktober lalu dan sekarang proses rundingan harga dan proses seterusnya.

“Bagi perolehan aset pesawat FLIT- LCA ia sudah berada di Kementerian Kewangan dan menunggu keputusan dalam rundingan. Pada jangkaan TUDM, tidak akan ada apa-apa halangan untuk diteruskan hanya perlu memberi sedikit penjelasan dan justifikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM Tahun 2022 di Pangkalan Udara Sendayan, Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, beberapa pengiktirafan melibatkan beberapa kategori diberikan termasuk Anugerah Terbang Selamat (ATS) yang disampaikan kepada Left. Kol. Khairul Anuar Addeli dan Mejar Fairul Mohd. Rustham.

Sementara itu, Mohd. Asghar Khan menjelaskan, kontrak bagi perolehan pesawat tanpa pemandu kategori MALE-UAS dijangka akan ditandatangani pada tahun 2023.

“LOA untuk pesawat ini telah ditandangani daripada Turkiye, minggu ini juga ada satu pasukan berada di sana yang sedang melihat pengurusan aspek untuk kontrak perolehan dilaksanakan dan melihat pesawat tersebut

“Di dalam Kertas Putih Pertahanan, kawasan strategik negara memerlukan pengawasan yang lebih dan dron pesawat MALE-UAS ini akan digunakan membuat pengawasan di kawasan ini sehingga rondaan maritim udara di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ),” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, bagi jangka masa pendek, TUDM juga akan mengoperasikan pesawat helikopter AW139 bagi menggantikan helikopter Nuri yang telah ditamatkan perkhidmatan.

“Dalam kontrak yang pertama ini kami dapat empat pesawat helikopter dan seterusnya untuk jangka panjang, adalah sebanyak 12 buah helikopter dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” menurut beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI