fbpx

Bomba nafi beri kebenaran NGO, sukarelawan sertai operasi SAR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara gambar tular pasukan sukarelawan mendakwa dapat kebenaran memasuki kawasan tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali - Genting Highland, Hulu Selangor.

PETALING JAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, menafikan dakwaan memberi kebenaran kepada pasukan sukarelawan awam menyertai Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Batang Kali-Genting Highland, Hulu Selangor.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, JBPM Selangor berkata, pihaknya mengesan gambar tular memaparkan sekumpulan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semasa hari pertama SAR dilakukan, Jumaat lalu.

Katanya, pihak tersebut mendakwa mendapat kebenaran membantu operasi SAR mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan tanah, adalah tidak benar.

“Kami menafikan ada memberi sebarang kebenaran dalam apa juga bentuk kepada mana-mana pasukan sukarelawan awam atau individu untuk menyertai operasi.

“Ini selaras arahan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN 20) iaitu hanya anggota dan agensi menyelamat yang terlatih dibenarkan berada di kawasan operasi Zon Merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, lima agensi yang disahkan mendapat kebenaran adalah JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Dalam pada itu, tambahnya, tiga aspek utama turut diambil kira untuk anggota terlibat iaitu keselamatan, kemahiran, dan kecergasan.

“Keadaan semasa struktur tanah kawasan bencana dalam keadaan lembut, jika hujan kemungkinan berlaku runtuhan susulan di lokasi kejadian.

“Keadaan tersebut memerlukan kepekaan dan latihan khusus serta kesediaan kita menghadapi situasi sukar dan tidak dijangka, disebabkan itu kemahiran anggota dan kecergasan fizikal diperlukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI