fbpx

Tiga suspek ditahan selepas dikejar MPV polis sejauh 80 km

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta Honda Civic dinaiki tiga suspek yang dikejar polis sejauh 80 km dari Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang hingga Sungai Petani pagi tadi.

SUNGAI PETANI – Cubaan tiga lelaki melarikan diri daripada polis dengan memecut laju kereta sejauh kira-kira 80 kilometer (km) gagal apabila mereka ditahan bersama dadah dan parang di Jalan Kuala Ketil, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, kereta jenis Honda Civic dinaiki tiga suspek berusia 26 hingga 39 tahun terbabit terbabas di selekoh lampu isyarat Kampung Haji Wahab kira-kira pukul 8.05 pagi tadi.

Mereka sebelum itu dikejar anggota polis dari Unit kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di Bukit Tengah, Pulau Pinang pada pukul 3.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku apabila anggota polis menghampiri kereta dinaiki suspek kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Kereta itu terus memecut laju dan tidak mengendahkan arahan supaya berhenti sebelum memasuki kawasan Seberang Perai Utara (SPU).

“Anggota MPV Seberang Perai Tengah (SPT) meminta bantuan MPV SPU dan sebanyak empat MPV bertindak mengejar kereta suspek,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, kereta suspek kemudian memasuki Sungai Petani sebelum berjaya di tahan selepas kenderaan berkenaan terbabas di selekoh lampu isyarat Kampung Haji Wahab.

“Berlaku pergelutan ketika anggota polis cuba menahan suspek dan pemeriksaan di dalam kereta menemui dua peket plastik lut sinar berisi dadah disyaki syabu dianggarkan seberat 3.33 gram di dalam kotak rokok selain dua bilah parang,” ujarnya.

Menurutnya, semakan mendapati pemandu kereta berusia 26 tahun dan berasal dari Taman Ria Jaya, di sini dan penumpang hadapan berusia 39 tahun dari Taman Ria, di sini masing-masing mempunyai satu rekod kes jenayah dan dadah.

“Sementara penumpang belakang kereta berusia 33 tahun dan berasal dari Batu Caves, Selangor mempunyai 13 kes jenayah dan 10 kes
membabitkan dadah,” katanya.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphethamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan 1958. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI