PETALING JAYA – Ketagihan terhadap kopi berjenama yang didakwa mampu menjadikan badan lebih segar dan bersemangat untuk bekerja mendorong golongan muda menghabiskan sebahagian besar gaji mereka semata-mata untuk menikmati minuman itu.
Bukan sedikit, ada antaranya sanggup berbelanja sehingga RM1,500 sebulan.
Selain ketagihan kafein, sebahagiannya pula terpengaruh dengan gaya hidup dipamerkan selebriti atau pempengaruh yang memuat naik gambar atau video mengenai kopi hingga menjadi ikutan dan trend generasi sekarang.
Ketagihan berlaku apabila kandungan kafein sudah sebati dengan badan hingga mengakibatkan tubuh lesu dan lemah jika tidak mengambilnya seharian.
Seorang jurutera pengatur cara komputer, Muhammad Syahmi Noorafendi, 27, berkata, dia membelanjakan RM1,500 sebulan hanya untuk membeli kopi sejak dua bulan lepas.
“Ketagihan bermula ketika zaman belajar kerana perlu berjaga malam bagi menyiapkan tugasan. Sekarang, saya akan rasa gelisah jika tidak minum sehari.
“Bila sudah bekerja, lagi banyak kopi saya minum kerana perlu berjaga malam. Paling teruk ketika bulan puasa apabila tidak dapat melakukan kerja kerana badan lemah dan lesu sebab tiada kafein dalam tubuh,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Muhammad Syahmi, dia perlu mengambil masa selama seminggu untuk membiasakan diri tanpa kafein ketika bulan Ramadan.
Lebih membimbangkan luahnya, apabila dia telah beberapa kali mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kerana pucat dan pitam gara-gara kandungan kafein yang terlampau tinggi di dalam badannya.
“Saya berazam untuk berhenti minum kopi dalam tempoh lima tahun lagi bagi mengurangkan kemudaratan pada badan. Kini saya mengamalkan hidup aktif untuk melawan kelesuan dan keletihan kerana kekurangan kafein,” luahnya.
Syahmi turut menasihatkan agar orang ramai mengukur baju di badan sendiri, khususnya daripada segi kewangan dan kesihatan sebelum membelanjakan sejumlah wang untuk kopi.
Seorang peminat kopi tegar, Ameer Hamzah Mokhtar, 30, berkata, bagi mengurangkan belanja, dia membeli mesin membuat kopi automatik berharga RM2,000 pada September lalu.
“Saya beli mesin kopi itu untuk pelaburan jangka masa panjang. Memanglah pada awalnya agak mahal untuk keluarkan sejumlah wang yang besar, tetapi pengurangan belanja selepas itu sangat ketara.
“Kalau dahulu, sebulan saya belanja sehingga RM600, tetapi kini saya hanya keluarkan belanja kurang RM100 bagi biji kopi dan susu,” katanya.
Kata usahawan dan pembekal madu itu, harga biji kopi bagi 500 gram ialah RM50 dan susu (RM44) dapat membuat 60 cawan kopi sebulan dengan kos hanya RM1.57 berbanding membeli pada harga antara RM10 hingga RM15.
















