fbpx

Ejen Ali Musim 3 menang Asian Television Awards

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIRI Ejen Ali musim 3 diangkat sebagai Program Animasi 3D Terbaik di rantau ini pada acara Asian Television Awards yang berlangsung di Singapura baru-baru ini.

PETALING JAYA – Siri popular Ejen Ali Musim 3 melakar sejarah apabila meraih pengiktirafan antarabangsa sebagai Program Animasi 3D Terbaik di Asian Television Awards ke-27 yang berlangsung di Singapura, baru-baru ini.

Kemenangan tersebut sekali gus membuktikan penguasaan siri animasi popular tempatan terbitan Primeworks Studios bersama WAU Animation berkenaan mendominasi rantau Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, pengiktirafan terhadap Ejen Ali Musim 3 adalah sesuatu yang ingin diraikan dengan semua pihak.

“Sokongan peminat tegar animasi ini menyuntik semangat pasukan kreatif kami untuk terus bekerja keras dan menghasilkan idea lebih menarik.

“Terima kasih tidak terhingga kepada WAU Animation dan Disney+ Hotstar kerana memberi peluang berkolaborasi dan meluaskan lagi platform Ejen Ali Musim 3,” katanya.

Tambah Khairul Anwar, pihaknya turut berbangga apabila dua lagi program bawah rangkaian televisyen mereka turut dicalonkan dalam acara sama.

Naskhah terbabit merupakan My Dream My Wish siaran 8TV bagi kategori Drama atau Telemovie ‘Single’ Terbaik dan Women Talk untuk Program Bual Bicara Terbaik (TV3).

Ejen Ali Musim 3 yang ditayangkan menerusi Disney+ Hotstar pada 25 Jun lalu adalah kesinambungan Ejen Ali: The Movie dengan menampilkan jalan cerita lebih mendalam mengenai tugasan Ejen Ali di Arena MATA tanpa alat peranti IRIS.

Sementara itu, selain penceritaan inovatif dan animasi berkualiti tinggi, francais animasi Ejen Ali yang dihasilkan sejak 2016 mengangkat pengaruh kepelbagaian budaya dan tradisional Malaysia serta negara serumpun.

Bersama teknologi moden, kepelbagaian elemen kebanggaan negara disuntik dalam paparan watak, latar serta plot kisah yang menyerlahkan keunikan francais Ejen Ali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI