fbpx

PH Tanah Merah lapor polis kes agihan wang kepada pengundi luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Ibrahim (tengah) bersama 30 ahli PKR Tanah Merah menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Tanah Merah hari ini. -Foto oleh ROSMIZAN RESDI

TANAH MERAH – Pakatan Harapan (PH) Tanah Merah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini hari ini berhubung dakwaan wujud unsur sogokan wang daripada Perikatan Nasional (PN) kepada pengundi luar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tanah Merah, Wan Ibrahim Wan Yusoff, berkata, laporan polis berkenaan dibuat agar siasatan terperinci dapat dilakukan memandangkan isu berkenaan telah tersebar luas menerusi WhatsApp, TikTok dan Facebook.

Menurutnya, video berkenaan jelas menunjukkan berlakunya agihan wang kepada pengundi luar di dua kawasan di daerah ini iaitu di Kampung Bukit Tebu dan Kampung Terasil.

“Dikhabarkan berlaku agihan wang oleh Pas kepada pengundi yang disebut sebagai pengundi luar kira-kira pukul 11 pagi pada 19 November lalu.

“Menerusi video yang tular, terdapat sekumpulan petugas yang memakai baju berwarna hijau yang bertulis sukarelawan DSI (Datuk Seri Ikmal),” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis bersama kira-kira 30 ahli di IPD Tanah Merah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Ibrahim berkata, siasatan perlu dilakukan terhadap peranan pihak berkuasa yang turut berada di tempat kejadian.

Katanya, beliau juga curiga apabila himpunan melibatkan ramai individu di kedua-dua kawasan tersebut telah mendapat permit daripada pihak berkuasa atau sebaliknya.

“Himpunan itu dilihat tidak aman kerana terdapat pihak berkuasa yang dilengkapi dengan peralatan anti rusuhan,” katanya.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, insiden kekecohan yang berlaku di Tanah Merah dekat sini pada 19 November lalu sehingga video kejadian itu tular di media sosial tiada kaitan dengan pembahagian wang kepada pengundi luar.– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI