fbpx

Pusat Jantung Hospital Serdang mula beroperasi esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaliha (tiga kanan) melawat ruang fasiliti yang terdapat di Pusat Jantung Hospital Serdang._Foto FARIZ RUSADIO

SERDANG – Lebih ramai pesakit jantung dari seluruh negara dijangka dapat dirawat di Pusat Jantung Hospital Serdang yang dilengkapi peralatan terkini dan canggih bermula esok.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, hasrat pembinaan Pusat Jantung Hospital Serdang itu adalah untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang kurang mampu terutamanya golongan B40.

“Pada hari ini hasrat murni tersebut telah menjadi kenyataan. Dengan adanya pusat rawatan jantung seperti ini, lebih ramai pesakit jantung dari seluruh negara dapat dirawat dan ramai pakar perubatan kardio dari Kementerian Kesihatan (KKM) dapat dilatih untuk memberi rawatan bertaraf dunia kepada pesakit jantung.

“Hal ini kerana perkhidmatan yang disediakan di pusat jantung ini dijangka dapat mempercepatkan proses rawatan pesakit dalam dan tempoh menunggu bagi rawatan angiogram (pengimejan saluran arteri) juga boleh dipercepatkan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pengoperasian Pusat Jantung Hospital Serdang di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Sementara itu katanya, Pusat Jantung Hospital Serdang itu turut dilengkapi dengan peralatan terkini yang serba canggih seperti sebuah Makmal Jantung Invasif (ICL) di Jabatan Kecemasan (ED) Yang Pertama di Malaysia.

Katanya, setanding di negara maju yang lain, ICL itu membolehkan kes-kes serangan jantung akut menerima rawatan segera dan terbaik iaitu Intervensi Primary Percutaneous Coronary Intervention (PCI).

“Pusat Jantung ini juga mempunyai sebuah dewan bedah hibrid pertama di fasiliti KKM dilengkapi dengan mesin angioplasti dan peralatan dewan bedah yang dapat memanfaatkan seramai 200 ke 250 orang pesakit setahun.

“Selain itu, Pusat Jantung ini juga mempunyai seunit mesin MRI 3.0 Tesla yang akan digunakan khusus untuk pengimejan diagnostik jantung,” ujarnya.

Tambahnya, Pusat Jantung itu turut mempunyai enam buah ICL, di mana sekiranya beroperasi secara maksimun sekaligus membolehkan Pusat Jantung menerima tambahan sebanyak 6,000 kes setahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI