fbpx
EMPAT bekas ahli V.E baharu mengundurkan diri daripada kumpulan itu disebabkan konflik penggunaan nama.

Jangka hayat, karier singkat V.E

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS menempatkan diri sebagai finalis dalam Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), kumpulan V.E berjaya menaikkan semula nama dalam industri tanah air biarpun sudah beberapa tahun kelibat mereka tenggelam.

Perjuangan selama 11 minggu dalam program tersebut dikira berbaloi kerana mereka pulang dengan kemenangan di tempat kelima.

Kemunculan semula sedikit sebanyak membantu nama kumpulan itu kembali diingati sekali gus dikenali terutamanya buat golongan muda yang barangkali tidak mengetahui kewujudan mereka sebelum ini.

Penggunaan nama

Meskipun baik untuk pembangunan semula karier mereka, namun harapan meneruskan perjuangan sebagai V.E versi baharu akhirnya hancur apabila penggunaan nama dipersoalkan ahli lama kumpulan itu, Zaf.

Semuanya kerana Zaf tidak berpuas hati isu penggunaan nama V.E apabila dia menuduh perkara tersebut sebagai satu bentuk plagiat atau peniruan idea secara bulat-bulat.

Cham atau nama sebenarnya Charma Adizalilullah Kahlil pula sebaliknya mempunyai pendapat berbeza.

SEMASA sidang akhbar tergempar oleh ahli baharu V.E, Adeep (dua dari kanan) menitiskan air mata kerana sebak memikirkan tentang persahabatan mereka dengan Zaf. Foto – SADDAM BUDI

“Mungkin itu pendapat dia menyatakan kami tidak berhak menggunakan nama V.E, tetapi sebagai anggota asal kumpulan, saya ada hak.

“Kami bertungkus-lumus selama 11 minggu dalam GV9 macam orang gila. Apabila sudah berjaya, kami tidak dibenarkan menggunakan nama V.E.

“Saya rasa terpulang sama ada kami mahu menggunakan nama V.E kerana dia pun sudah tidak berada dalam kumpulan ini,” luah Cham.

Dek enggan mengeruhkan keadaan, kesemua ahli V.E versi baharu kemudian mengambil kata sepakat mengundur diri dan mencipta nama baharu yang akan digunakan selepas ini iaitu BSD (Bukan Sesiapa Dowh).

Sikap sebenar Zaf

Biarpun begitu, Cham pada masa sama meluahkan rasa kesal dengan perbuatan Zaf atau nama sebenarnya Zafri Nazarudin.

Konflik dan perbalahan yang berlaku antara mereka ‘mencabar’ dirinya membuka mulut tentang perkara sebenar.

“Sebenarnya saya tidak mahu masuk pertandingan GV9 walaupun sudah ditawarkan sejak musim keempat lagi. Apabila memikirkan Zaf yang memujuk untuk masuk, saya okey.

KUMPULAN yang sekarang menggunakan nama BSD kesal dengan sikap Zaf yang tidak profesional kerana menghentam kekurangan persembahan V.E menerusi sosial media.

“Apabila sudah bersetuju, tiba-tiba Zaf menarik diri sehari sebelum sesi fotografi GV9. Baginya, satu kumpulan masih belum bersedia dan meminta kami semua berbuat demikian (tarik diri).

“Kami tidak bersetuju kerana sudah menandatangani kontrak. Jadi kami teruskan perancangan tanpa Zaf,” ujarnya.

Rasa bodoh

Luahnya lagi, walaupun Zaf tidak lagi berada dalam V.E, tetapi dia masih mengawal pergerakan kumpulan itu sehingga membuatkan empat ahli lain berasa kurang senang.

“Apabila sudah tidak berada dalam kumpulan, Zaf menyerahkan tugas kepada saya untuk menjaga semua perkara. Namun, semasa saya mengendalikan, dia mula bising.

“Waktu itu saya rasa dia sudah melebih. Semasa berada dalam kumpulan, dia menggunakan kuasa veto tetapi apabila keluar pun dia tetap menonjolkan perangai yang sama.

“Kami sudah mula menyampah dengannya dan putuskan singkir dia. Kalau dahulu masa muda saya mengikut sahaja sebab rasa dia bijak tetapi lama-lama kami yang rasa bodoh,” katanya.

PERJUANGAN selama 11 minggu dalam GV9 berbaloi buat V.E kerana mereka semakin dikenali terutama bagi peminat muda.

Sampai satu tahap, dia cukup penat menuruti kata Zaf yang berlagak seperti ketua kumpulan walaupun dari awal mereka tidak memutuskan untuk mempunyai pemimpin.

“Zaf diibaratkan sebagai lelaki yang mempunyai pengaruh besar. Apa sahaja yang dia cakap kita perlu ikut dari dahulu sehinggalah tidak bersamanya lagi.

“Dari dahulu saya tidak rasa selesa kerana kadang-kadang dia lebih gemar melakukan keputusan sendiri tanpa berbincang,” tuturnya lagi.

Ditebak sama ada pernah mengalami permasalahan lain sepanjang bersama, penyanyi berusia 44 tahun itu turut ‘melondehkan’ perangai sebenar Zaf membabitkan pengurusan.

“Pernah dia bertekak dengan Hakim melalui telefon. Dia mahu menukar pengurusan semasa masuk GV9 walaupun dirinya tidak ada kena-mengena dengan kami.

“Kami memang selesa dengan pengurusan sekarang bawah jagaan Aszuad Zakaria. Kami sudah anggap dia seperti abang.

“Dia pula mahu tukar orang yang kami tidak kenali. Selesai bergaduh, tiba-tiba pihak Astro menelefon kami memaklumkan Zaf minta tukar pembayaran kepada namanya,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN