fbpx

Lelaki gagal lolos lepas langgar kereta polis, orang awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KLANG – Cubaan nekad seorang lelaki meloloskan diri dengan melanggar kereta peronda polis dan tiga kenderaan awam tidak berhasil apabila diberkas polis di sekitar Jalan Sungai Jati di sini, baru-baru ini.

Suspek berusia 28 tahun yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau itu ditahan selepas memecut kereta Honda Accord dipandunya, kira-kira pukul 11.45 pagi, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penahanan itu dilakukan pihaknya menerusi rondaan cegah jenayah selepas mendapati kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, suspek bagaimanapun tidak berhenti dan terus memecut laju untuk melarikan diri.

“Anggota polis kemudian mengekori sehingga persimpangan lampu isyarat dan menghalang kenderaan tersebut.

“Namun, suspek bertindak melanggar kereta polis dan tiga kereta orang awam sebelum keluar melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Hoong Fong, semakan terhadap lelaki yang berjaya ditahan di lokasi kejadian itu didapati memiliki pelbagai rekod atas kesalahan jenayah dan dadah.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu turut menemui satu gram pil dadah disyaki Erimin 5 di dalam bekas yang digantung bersama kunci kereta.

Selain itu, pelbagai peralatan pecah rumah yang diubah suai dan pelbagai telefon bimbit disyaki barang curi dirampas bagi tindakan lanjut.

“Suspek kini direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI