fbpx

DUN Johor: Elaun ketua kampung, masyarakat dinaikkan RM300

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ONN HAFIZ mengumumkan kerajaan negeri meluluskan kenaikan elaun ketua kampung dan ketua masyarakat sebanyak RM300.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri bersetuju untuk menaikkan elaun bulanan sebanyak RM300 kepada RM1,200 sebulan kepada ketua kampung dan ketua masyarakat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pertimbangan itu mengambil kira bagi meningkatkan profesionalisme institusi ketua kampung dan ketua masyarakat.

Beliau berkata, inisiatif itu bagi menghargai kepimpinan dan peranan institusi akar umbi yang berkhidmat siang dan malam bagi membantu masyarakat setempat.

“Sukacita saya umumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju untuk menaikkan elaun sebanyak RM300 sebulan kepada ketua kampung dan ketua masyarakat dari RM900 kepada RM1,200 sebulan.

“Di samping itu, kerajaan Negeri juga berharap agar Kerajaan Persekutuan turut menyambut baik inisiatif murni ini, seterusnya menambah sekurang-kurangnya RM 300 lagi menjadikan RM1,500 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Pada Februari 2019, bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian mengumumkan khabar gembira kepada 667 ketua kampung apabila bersetuju menaikkan kadar elaun sebanyak RM200 sebulan.

Pertambahan itu menjadikan elaun diterima ketua kampung sebanyak RM900 sebulan berbanding RM700 sebelum ini.

Menyentuh mengenai cadangan kenaikan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri, Onn Hafiz memberitahu, kerajaan negeri akan mengkaji dan mempertimbangkan cadangan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI