fbpx

Tun Mahathir pamer kereta elektrik Polester 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tun Dr. Mahathir bersama kereta elektrik Polestar 2 dari DRB-Hicom.

PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi satu hantaran Facebooknya memaklumkan, DRB-Hicom telah memperkenalkan sebuah kereta elektrik (EV), Polestar 2 kepada beliau.

Menurut bekas Pengerusi Proton itu, Polestar 2 merupakan salah satu model keluaran anak syarikat Geely, yang merupakan rakan strategik Proton.

Tun Dr. Mahathir berkata, beliau difahamkan kereta tersebut mampu mencapai jarak tempuh sehingga 400 kilometer dengan hanya sekali cas penuh.

Masa mengecas baterinya pula adalah kurang dari dua jam untuk mendapatkan 100 peratus bekalan penuh. Sekiranya mengecas di rumah, ia mengambil masa lebih dari tujuh jam.

“Tetapi, pada ketika ini sudah terdapat lebih 1,000 stesen pengecasan EV di seluruh negara. Jadi, tidak timbul masalah untuk mengecas kenderaan EV di mana sahaja.

“Kebanyakan negara kerajaan memberi insentif kepada pembeli kereta elektrik. Saya mendapati pada masa hadapan kenderaan sebegini menjadi pilihan kerana mengurangkan pencemaran.

“Namun harus kita ingat, meskipun kereta ini tidak mencemarkan udara, bekalan elektrik yang datang dari stesen janakuasa juga mencemarkan udara,” jelas beliau hari ini.

Tambah Tun Mahathir lagi, kereta elektrik masih lagi belum sampai ke tahap bebas pencemaran udara. Akhirnya, mungkin negara terpaksa menggunakan kereta hidrogen, itupun terdapat juga masalah lain yang perlu diuji dan diselesaikan.

Kata beliau lagi, untuk membersihkan iklim dalam bandar, kereta elektrik masih menjadi pilihan. Pada pandangan beliau dari segi reka bentuk, kereta ini amat canggih.

“Kereta ini tidak mempunyai ruang enjin yang besar, sebaliknya ia telah dijadikan sebagai ruang penyimpanan barang.

“Ciri-ciri reka bentuk dalaman juga kemas dan futuristik, di mana segala kawalan dan tetapan boleh dibuat dengan sentuhan di paparan skrin berbentuk ‘tablet’. Sudah tidak ada lagi suis atau tombol di papan pemuka seperti kereta biasa,” kata Tun Dr. Mahathir.

Tun Dr. Mahathir berharap agar pihak Proton dapat memajukan projek sebegini supaya satu masa nanti pengeluar ketera nasional itu juga mampu menghasilkan kereta elektriknya sendiri. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI