fbpx

Judi Piala Dunia, 412 bookie ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 412 individu ditahan dipercayai terbabit kegiatan judi bola sepak sepanjang kejohanan Piala Dunia Qatar menerusi 348 serbuan Op Soga IX di seluruh negara sejak 19 November sehingga 8 Disember.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saadudin berkata, sebanyak 348 kertas siasatan telah dibuka dan dari jumlah tersebut, sebanyak 289 kertas siasatan masih dalam tindakan.

Katanya, 52 kertas siasatan berjaya dituduh manakala sebanyak tujuh lagi telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

“Kesemua tangkapan merupakan bookie atau ‘punter’ dan suspek telah direman untuk siasatan lanjut.

“Susulan serbuan dibuat, tangkapan suspek tertinggi adalah di negeri Selangor (135), diikuti Johor (51), Kuala Lumpur (43) dan Sarawak (34).

“Kami turut merampas pelbagai peralatan termasuk kredit di dalam perisian bernilai RM10.6 juta, wang tunai RM417,613, dolar Hong Kong 382,295 dan dolar Singapura 500,” jelasnya.

Dalam pada itu, polis juga turut merampas 20 unit komputer, 11 komputer riba , dua tablet, 496 telefon bimbit, 11 penghala (router), 207 kad sim dan 103 helai catitan disyaki pertaruhan.

“Siasatan dijalankan di bawah Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menganjur dan menjalankan pertaruhan, berlandaskan undang-undang sedia ada dalam usaha menangani aktiviti perjudian.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian, boleh salurkan maklumat tersebut melalui Hotline Whatsapp Op Soga IX di talian 016-5773477,” ujarnya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI