PETALING JAYA – Musim majlis graduasi ini, ramai yang berkongsi momen indah bersama rakan-rakan setelah penat jerih menamatkan pengajian, namun ada juga yang tidak berpeluang meraikan hari yang bersejarah itu.
Itulah yang terjadi kepada seorang graduan, dikenali sebagai Aliff Aiman yang tidak dapat hadir ke majlis graduasi bersama kawan-kawannya kerana dimasukkan ke hospital selama lima hari.
Namun, video yang dimuat naik oleh salah seorang rakannya, @muhdezzany di TikTok, telah menyentuh hati ramai pihak apabila beberapa sahabat Aliff datang ke hospital dengan membawa jubah dan hadiah graduasi untuk meraikannya sempena tamat pelajaran.
“Walaupun tidak dapat naik pentas, aku tetap mahu kau pakai baju konvo ni walaupun sakit. Kami sanggup datang dari Bangi ke Hospital Ampang demi kau. Terima kasih sebab ada dengan aku waktu susah dan senang,” tulis @muhdezzany.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen, rata-rata orang ramai terharu dan memuji persahabatan mereka yang sanggup datang ke hospital bagi meraikan hari graduasi rakannya itu.
“Terharunya dapat kawan macam ini.. semoga persahabatan kekal selamanya,” komen salah seorang netizen.
“Menangis tengok video ini, kuat dan hebatnya persahabatan kamu semua,” komen netizen yang lain pula.
Sehingga kini, video tersebut telah meraih 522,000 tontonan, 69,600 tanda suka dan 1,042 perkongsian. – KOSMO! ONLINE