fbpx

Jualan senjata global RM2.5 trilion tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jualan senjata global untuk tahun 2021 melonjak untuk tahun ketujuh berturut-turut berbanding pada tahun sebelumnya. - Foto AFP

LONDON – Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) mendedahkan  bahawa jualan senjata dan perkhidmatan ketenteraan oleh 100 syarikat terbesar dalam industri berkenaan mencecah AS$592 bilion (RM2.5 trilion) pada tahun 2021, lapor portal berita Wion News kelmarin.

Menurut SIPRI, angka tersebut bertambah 1.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ia  juga peningkatan untuk tahun ketujuh berturut-turut.

Peningkatan ketara itu masih berlaku walaupun terdapat isu rantaian bekalan yang menjejaskan penghantaran komponen kritikal dan menjadi bertambah buruk disebabkan perang antara Rusia dan Ukraine yang meletus sejak Februari lalu.

Jualan senjata global untuk tahun 2020 terjejas akibat pandemik Covid-19 dan sekatan perjalanan besar-besaran yang bertujuan untuk mengekang penularan virus tersebut dalam kalangan penduduk dunia. 

Laporan SIPRI itu menyatakan, banyak sektor dalam industri senjata masih terjejas disebabkan gangguan berkaitan Covid-19 sehingga menyebabkan kelewatan dalam penghantaran global dan ketiadaan bekalan komponen penting.

Pengarah Program Perbelanjaan Ketenteraan dan Pengeluaran Senjata SIPRI, Lucie Beraud-Sudreau berkata dalam satu kenyataan: “Kami mungkin menjangkakan pertumbuhan yang lebih besar dalam jualan senjata pada tahun 2021 sekiranya masalah rantaian bekalan yang berterusan tidak berlaku.

“Kedua-dua pemain utama dan syarikat senjata lebih kecil menyatakan bahawa jualan mereka terjejas pada 2021.

“Beberapa syarikat, seperti Airbus dan General Dynamics juga melaporkan masalah kekurangan pekerja.”

Russia muncul pembekal utama bahan mentah yang digunakan dalam pembuatan senjata dan perang Ukraine telah meningkatkan cabaran rantaian bekalan untuk syarikat-syarikat senjata.

Dalam laporan yang diterbitkan kelmarin, Penyelidik Kanan SIPRI, Dr. Diego Lopes da Silva berkata: “Meningkatkan keluaran (senjata) mengambil masa. Jika gangguan rantaian bekalan berterusan, ia mungkin mengambil masa beberapa tahun untuk pengeluar senjata utama memenuhi permintaan baharu yang dicipta oleh Ukraine (perang).”

Laporan itu menggariskan bagaimana firma-firma Amerika  Syarikat (AS)  mendominasi senarai kedudukan 100 teratas pengeluar senjata. Ia  menyaksikan 40 syarikat AS  yang berada dalam senarai sama mencatat jualan mencecah AS$299 bilion (RM1.3 trilion) pada 2021.

Lima syarikat teratas dalam senarai 100 pengeluar senjata tersebut berpangkalan di AS sejak tahun 2018.

Penyelidik Kanan SIPRI Dr Nan Tian berkata: “Kita mungkin boleh menjangkakan untuk melihat tindakan lebih kuat daripada kerajaan AS untuk mengehadkan penggabungan dan pengambilalihan industri senjata dalam beberapa tahun akan datang. 

“Jabatan Pertahanan AS telah menyatakan kebimbangan bahawa persaingan yang berkurangan dalam industri (senjata) boleh menyebabkan kesan ke atas kos perolehan dan inovasi produk.”

Menurut laporan tersebut, jualan senjata gabungan 21 syarikat di Asia dan Oceania yang termasuk dalam senarai 100  syarikat pengeluar senjata itu mencecah AS$136 bilion (RM595 bilion) pada tahun 2021, meningkat lebih 5 peratus berbanding pada tahun 2020.

Syarikat-syarikat China mempunyai pertumbuhan pesat dalam jualan senjata di Asia kerana lapan syarikatnya berada dalam senarai itu dan mempunyai jumlah jualan senjata sebanyak AS$109 bilion (RM477 bilion) iaitu peningkatan 6.3 peratus.

Sementara itu, firma-firma berpangkalan di Asia Barat menjana jualan senjata sebanyak AS$15 bilion (RM65.71 bilion) pada tahun 2021. Ia merupakan peningkatan 6.5 peratus berbanding tahun sebelumnya. –Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI