fbpx

ForceParkBois hormat emosi Pablo, pemergian arwah Syazlin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FORCEPARKBOIS enggan memberi tekanan Pablo supaya dia dapat mencari ruang memulihkan emosi dan semangat selepas kehilangan Syazlin Zainal.

KUALA LUMPUR – “Kami tak boleh nak cakap banyak. Kami hormat dia (Shaf) dan juga arwah (Syazlin Zainal).”

Itu respons kumpulan hip-hop, ForceParkBois tentang keadaan emosi semasa salah seorang anggota grup, Shaf Pablo yang kehilangan kekasihnya itu, bulan lepas.

Allahyarham Syazlin yang merupakan pelakon dan juga pempengaruh meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, Johor Bahru, Johor.

Salah seorang ahli kumpulan tersebut, CH1K berkata, bukan mudah kehilangan orang yang dicintai dan fasa tersebut sedang dilalui Pablo.

“Benda sebegini kalau jadi kepada sesiapa pun, memang kita tahu bagaimana keadaan emosi. Tak perlu dipersoalkan pun rasanya.

“Apa-apa soalan patut diajukan sendiri kepada Pablo dan dia sendiri perlu jawab. Kami tiada kuasa nak menjawab bagi pihaknya,” kata CH1K kepada Kosmo! Online usai sidang media festival muzik, Nusa Fest di ibu negara, semalam.

Kumpulan hip-hop asal Johor, ForceParkBois bakal mengadakan persembahan bersama kumpulan hebat lain dalam festival muzik, Nusa Fest pada Februari 2023 anjuran Shiraz Projects. – SADDAM YUSOFF.

Sebagai sahabat, apa yang disalurkan kepada Pablo adalah sokongan dan memberikan ruang untuk dirinya kembali sembuh seperti biasa.

“Ada juga hubungi dia (Pablo). Sekarang ini, tentang komitmen terhadap kumpulan, kami bagi masa kepadanya.

“Sebab arwah pun orang kenal. Kami tak nak tekan Pablo atau beri tekanan kepadanya. Jadi, kami memang beri masa untuk emosinya kembali sembuh,” ujar Han Panas.

Sementara itu, ditanya tentang peluang mengadakan persembahan dengan nama-nama besar dalam Nusa Fest, ForceParkBois yang terkenal dengan lagu berjudul Lotus berasa gemuruh apabila akan berkongsi pentas dengan idola mereka seperti Kunto Aji, Bunkface dan Budak Nakal Hujung Simpang.

“Gemuruh sikit sebenarnya. Gila, ramai idola yang akan kongsi pentas nanti.

“Tapi, itulah kami hanya boleh janjikan yang terbaik pada persembahan nanti di Nusa Fest,” kata Han lagi.

Nusa Fest yang membawakan sebuah festival muzik menggabungkan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura akan berlangsung pada 4 dan 5 Februari 2023 di Bandar Malaysia, Sungai Besi.

Selain nama-nama band yang disebut, festival muzik tersebut akan turut disertai Burgerkill, Dipha Barus, Diskoria, Feast, Fourtwnty, Gerhana Skacinta, Hindia, Iqbal M., Jemson, Kelompok Penerbang Roket, Ras Muhamad, Salammusik dan White Persussion Unit.

Tiket persembahan boleh didapati menerusi laman sesawang, www.myticket.asia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI