fbpx

Kualiti ‘kanabis muzik’ FORCEPARKBOIS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERASAL dari Johor, kumpulan FORCEPARKBOIS atau FPB kini meledak dengan single berjudul Lotus.

BARU-BARU ini, seperti ada bayu yang bertiup kencang di telinga penulis saat mendengar lagu hip hop tempatan berjudul Lotus nyanyian kumpulan FORCEPARKBOIS (FPB).

Sebagai seorang yang amat menjunjung karya atau naskhah bernuansa hip hop atau rap, secara peribadi, lagu berkenaan boleh disifatkan sebagai lagu rap paling ‘mantol’ tahun ini.

Kalau wujud trofi lagu rap paling mencuri tumpuan tahun yang penuh mencabar sejak kebelakangan ini, tidak mustahil FPB boleh menang trofi itu.

Menyentuh tentang kualiti lagu kumpulan berkenaan yang berasal dari Johor Bahru, Johor, penulis tabik spring kepada ‘flow’ rap yang dihasilkan.

Selain itu, kualiti komposisi muzik, nukilan lirik yang penuh liberalisasi membuatkan mana-mana pendengar memahami maksud dan nilai ‘x factor’ dalam lagu berkenaan. Itu yang menjadikannya sangat mudah melekat.

Dari satu sisi, lagu berkenaan membawa mesej terbang tinggi mengejar apa yang dihajat dalam kehidupan.

Dalam satu sisi lain juga, penulis percaya, karya anak-anak Selatan dengan kod ‘IC’ 01 (Johor) itu sebenarnya berbicara tentang dadah jenis ganja atau kanabis, berdasarkan perkataan-perkataan yang diselitkan dalam lirik seperti Mary Jane, ‘high’ dan perihal seperti itu.

MUZIK video rasmi Lotus sudah mencecah 10 juta tontonan dalam YouTube.

Tabu, kualiti

Itu satu perkara yang kemungkinan besar disifatkan sebagai tabu (larangan) di negara Malaysia tetapi di sebilangan negara, ganja dibenarkan sebagai ubat dan stimulasi untuk berfikir luar kotak atau kreatif.

Tak mahu mengomel lanjut tentang hal sebegitu, apa yang lebih penting yang ingin disampaikan di sini ialah, anak-anak muda dalam FPB sangat berbakat.

Jangan ditindas kemajuan dan olahan langkah mereka dalam muzik hanya kerana mereka sedikit ‘terjal’ berbanding para pemuzik lain.

Rasa terkejut, pada masa sama perasaan gembira bercampur bangga bermain dalam fikiran penulis apabila lagu berkenaan berjaya lolos dan diberi ruang untuk bertanding dalam carta Muzik-Muzik ke-36.

Penerimaan sebegitu memberi petanda bahawa industri muzik tetap bersifat terbuka dengan memberi ruang kepada bakat-bakat baharu seperti FPB walaupun negara kian tenat dihambat permasalahan Covid-19.

LAGU Lotus kini berjaya lolos dan diberi ruang untuk bertanding dalam carta Muzik-Muzik ke-36.

Lirik ‘triggering’

Syabas dan beribu-ribu kali tahniah juga kerana video muzik rasmi Lotus sudah mencecah tontonan sebanyak 10 juta menerusi YouTube.

Itu memang sangat sesuatu buat bakat muzik baharu.

Lotus kini menjadi antara lagu yang sering terngiang-ngiang dalam fikiran penulis bukan kerana hanya melodinya yang ‘catchy’ tetapi juga tulisan lirik yang sangat ‘hari ini’ dan bersifat kompleks.

Lirik sebegitu mencetuskan keinginan ramai untuk terus menggali tentang apa sebenarnya yang mahu didendangkan kumpulan hip hop berasal dari Johor itu.

Lotus juga ada versi remix, namun sedikit liar.

Buat FPB atau label yang menguruskan kumpulan ini, apabila sudah boleh ‘bergerak’ seperti biasa nanti, kalian boleh berhubung dengan penulis, untuk berbincang lebih jelas dan panjang lebar. Bagaimana, anda pasti tahu caranya.

Semoga terus berjaya dalam apa yang kalian sedang dan akan kerjakan.

Ingat, jangan simpan bakat berharga dalam kocek seluar sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI