fbpx

Rumah mewah di Johor tak laku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. JAFNI ketika ditemui pemberita selepas sesi soal jawab lisan di DUN Johor , Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri mendesak Kerajaan Persekutuan untuk menghidupkan semula Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi mengatasi isu perumahan mewah tidak terjual di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor berkata, program MM2H itu dilihat dapat membuka ruang kepada peserta program itu untuk membeli rumah mewah berharga RM500,000 ke atas yang tidak terjual.

Beliau berharap pihak Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan semula program tersebut yang dilihat wajar disambung semula setelah tergendala sejak tiga tahun lalu.

“Ia tergendala dua tiga tahun lalu. Kerajaan negeri berharap sangat Kerajaan Persekutuan membuka semula program tersebut dengan memberi ruang kepada pembeli di luar negara untuk membeli rumah mewah yang tidak terjual di negeri ini.

“Mungkin di peringkat kerajaan negeri sudah ada (cadangan secara rasmi) tetapi kalau menteri yang baru ini, saya akan suarakan benda yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi soal jawab lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Kota Iskandar hari ini.

Pada tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, program berkenaan dilihat semula agar setiap peserta di bawah program itu yang diterima bertujuan sama-sama memajukan negara.

Beliau dilaporkan berkata, peserta baharu program MM2H perlu mematuhi dasar baharu bagi memastikan hanya yang berkualiti dan sah serta memberi sumbangan pertumbuhan ekonomi dibenarkan menetap di negara ini.

“Kerajaan sedia mempertimbang memberi kelonggaran kepada peserta MM2H sedia ada dari syarat dan dasar yang ditetapkan sebelum ini termasuk keperluan pemilikan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta.

“Selain itu, pengeluaran maksimum sebanyak 50 peratus dibenarkan ke atas nilai prinsipal bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak selain perlu membuat pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta dan pendapatan luar negara sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan serta lain-lain keperluan syarat ditetapkan,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI