fbpx
Hakim dan peguam melihat serpihan pesawat MH17 yang dibina semula, di Pangkalan Udara tentera Gilze-Rijen, selatan Belanda, pada 26 Mei 2021. - AFP

Pendakwa raya Belanda enggan kemuka rayuan kes MH17, keputusan muktamad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMSTERDAM – Pendakwa Raya Belanda enggan memfailkan rayuan terhadap keputusan perbicaraan berhubung kes pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Mahkamah Belanda membebaskan seorang lelaki Russia dalam kes itu dan tiga suspek lain disabitkan bersalah.

“Rayuan akan menjadi beban besar bagi waris kerana mereka kemudiannya akan terus tidak yakin dengan keputusan kes jenayah itu,” kata perkhidmatan pendakwaan.

Suspek warga Russia, Oleg Pulatov didapati tidak bersalah oleh mahkamah Belanda pada 17 November lalu. 

Rakyat Russia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup walaupun tidak hadir semasa perbicaraan mahkamah. Ketiga-tiga mereka adalah buruan polis dan dipercayai berada di Russia. 

Mereka telah membantu penghantaran peluru berpandu BUK milik Russia ke Ukraine yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat itu. Bagaimanapun, tertuduh tidak menarik picu peluru berpandu secara fizikal.

Pesawat yang membawa 298 orang itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Russia yang dilepaskan oleh kumpulan pemisah yang disokong Moscow di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Pesawat Malaysia itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Penumpang MH17 berasal dari 10 negara termasuk 196 warga Belanda, 43 rakyat  Malaysia dan 38 warganegara  Australia.

Perkhidmatan pendakwaan berkata, keputusan mahkamah memberikan keluarga ‘kepastian mengenai beberapa perkara penting’ termasuk peranan Russia dalam tragedi itu. Mereka kini boleh menggunakan keputusan itu dalam kes sivil yang berasingan, katanya.

Ketiga-tiga lelaki yang disabitkan bersalah itu belum membuat rayuan dalam tempoh 14 hari, oleh itu sabitan terhadap mereka ‘tidak boleh ditarik balik’, tambah perkhidmatan pendakwaan.

Hakim berkata, walaupun mereka bukan orang yang secara fizikal menarik picu, mereka bersalah membunuh dan menjatuhkan pesawat kerana bertanggungjawab membawa peluru berpandu itu ke Ukraine. – Agensi

POPULAR