fbpx

Hawa Rizwana pernah dirisik lima tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAWA Rizwana mahu puas tengok dunia sebelum memikirkan soal jodoh.

KUALA LUMPUR – Belum memikirkan soal jodoh pada usia 27 tahun, namun pengacara Hawa Rizwana mengakui pernah dirisik kenalan keluarga ketika mula-mula terbabit dalam dunia penyiaran.

Katanya, niat baik pihak terbabit terpaksa ditolak memandangkan ketika itu dia masih terlalu muda untuk memberikan komitmen terhadap perhubungan, selain ingin fokus dengan kerjaya.

“Sebenarnya beberapa tahun sebelum ini ada kenalan keluarga pernah bertanya, nak diperkenalkan kepada anak mereka, cuma belum masanya.

“Soal jodoh saya belum terfikir. Buat masa ini saya tiada calon, kalau setakat berkawan memang ramai tetapi untuk dijadikan pasangan saya agak memilih,” katanya.

Tambah Hawa atau nama lengkapnya Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, buat masa ini dia mahu berdikari terlebih dahulu dan mencari kepuasan melihat dunia sebelum memikirkan soal jodoh.

“Bagi saya perkara ini yang kita perlu tapis. Kita sendiri ada kekurangan, jadi cari yang boleh lengkapi kita. Kiranya saling melengkapi antara satu sama lain.

“Paling utama biar jodoh itu datang sendiri, selain dapat restu mak ayah,” ujarnya lagi.

HAWA ketika majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-95 baru-baru ini dengan menerima Ijazah Sarjana Komunikasi Massa.

Sementara itu, Hawa yang baru sahaja menggenggam Ijazah Sarjana Komunikasi Massa dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.78 pada Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-95 Ahad lalu bersyukur kerana pengorbanannya berbaloi.

Wanita kelahiran Illinois, Amerika Syarikat itu berasa puas apabila pembahagian masa antara menghadiri kuliah dan memenuhi tuntutan tugas akhirnya membuahkan hasil yang manis.

“Alhamdulillah, ini semua berkat doa mak ayah selain kerjasama pensyarah dan rakan sekuliah yang banyak membantu serta memberi sokongan.

“Saya pelajar separuh masa dan menghadiri kuliah selepas pukul 6 petang, tiga kali seminggu selama tiga jam setiap sesi. Ketika itu saya sudah bergelar wartawan penyiaran.

“Namun saya ambil keputusan berhenti kerja supaya dapat fokus terhadap pengajian selain enggan menyusahkan rakan sekerja lain memandangkan banyak tugasan pada sebelah malam.

“Hanya syukur yang mampu saya luahkan kerana pengorbanan ini nyata berbaloi apabila meraih keputusan cemerlang,” kata Hawa ketika ditemui pada pelancaran Flagship Store Rizman Ruzaini di Hotel Four Seasons.

Menyimpan hasrat menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD), bekas penyampai berita itu bagaimanapun menyatakan perancangan tersebut bukan direalisasikan dalam waktu terdekat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI