fbpx
ROMBONGAN Wings sudah kembali dari Tanah Suci sejak beberapa hari lalu.

Dijangkiti Covid-19, Influenza serentak, Awie gigil satu badan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Baharu pulang dari mengerjakan umrah, Datuk Awie berdepan dugaan berganda apabila dijangkiti Covid-19 dan Influenza serentak yang mencetuskan gejala demam hingga menggigil.

Menurut pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman itu, dia sudah disahkan bebas kedua-dua virus tersebut, sekaligus membolehkannya fokus terhadap dua konsert besar yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini.

Begitupun katanya, keadaan kesihatan yang masih dalam proses pemulihan dikhuatiri boleh mengganggu prestasi kedua-dua konsert tersebut.

“Saya syak dapat jangkitan kedua-dua virus tersebut ketika dalam perjalanan pulang selepas mengerjakan umrah, baru-baru ini.

“Syukur sekarang keadaan saya sudah semakin baik selepas mendapatkan rawatan, tetapi boleh dikatakan masih dalam proses pemulihan.

“Mula-mula kena memang saya demam sampai menggigil satu badan dan sekarang cuma tinggal beberapa gejala ringan lain yang mungkin boleh jejaskan persembahan nanti.

“Apa pun persembahan yang membabitkan Wings selain satu lagi penampilan solo bersama beberapa teman seangkatan memang sesuatu yang saya nantikan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Katanya yang ke Tanah Suci secara beramai-ramai bersama anggota Wings termasuk Edrie Hashim, Black, Eddie dan Syam, ini kali kedua dia dijangkiti Covid-19.

Menyentuh pengalaman sepanjang mengerjakan ibadah bersama rakan yang sudah seperti saudara sedarah, akui Awie perasaan terharu dan bersyukur atas nikmat diberi-Nya sukar untuk diungkapkan.

Sementara itu, berkongsi pula persediaan menghadapi dua konsert besar ketika kesihatannya masih pada fasa penyembuhan, katanya dia memang teruja menunggu peluang berkongsi pentas dengan tiga lagi rakan seperjuangan.

“Konsert pada Jumaat ini bakal menggegarkan Istana Budaya yang turut menjadi manifestasi kepada keunggulan dan sumbangan besar genre rock dalam katalog muzik tempatan.

“Pada masa sama saya juga sudah sedia untuk tampil dengan Wings di Festival Folklore Antarabangsa 2022 pada 3 Disember ini iaitu dua hari usai persembahan di Istana Budaya.

“Harap semuanya dipermudahkan dan kesihatan saya kembali pulih seperti sedia kala,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR